JOHOR BAHRU: Pembentukan dan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) mampu menjadi penyumbang kepada sasaran pelaburan terkumpul Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) iaitu sebanyak RM636 bilion pada 2030.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Dr. Badrul Hisham Kassim berkata, JS-SEZ akan membawa pelbagai peluang dan kelebihan kepada Iskandar Malaysia sebagai sebuah destinasi pelabur dan perniagaan asing dan tempatan.
Beliau berkata, pelaksanaan JS-SEZ dan juga Special Financial Zone di Forest City, di sini akan turut membawa limpahan manfaat kepada pembangunan holistik di Iskandar Malaysia termasuklah daripada aspek sosial dan alam sekitar.
“IRDA sudah tentunya amat gembira dengan memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani oleh Malaysia dan Singapura pada hari ini berkaitan dengan JS-SEZ.
“JS-SEZ dan juga Special Financial Zone di Forest City akan menyumbang kepada sasaran pelaburan terkumpul terbaharu wilayah ini iaitu sebanyak RM636 bilion pada 2030.
“Lonjakan ekonomi strategik ini adalah sejajar dengan Pelan Pembangunan Komprehensif Iskandar Malaysia (CDPiii) 2022 – 2030 dan dijangkakan akan memacu pencapaian sasaran socio-economik seperti pewujudan pekerjaan dan peningkatan purata pendapatan isi rumah di wilayah ini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong menyaksikan majlis menandatangani MoU oleh Menteri Ekonomi Malaysia (MOE), Mohd. Rafizi Ramli dan Menteri Perdagangan dan Perindustrian Singapura (MTI), Gan Kim Yong berhubung pelaksanaan JS-SEZ.
Badrul Hisham memberitahu, JS-SEZ mampu meningkatkan kerjasama ekonomi dengan memanfaatkan momentum pelaburan terkini dan ini akan lebih memperkayakan penawaran bersama antara Malaysia and Singapura.
Katanya, ini akan memberikan manfaat yang sangat besar kepada Iskandar Malaysia dan pemegang-pemegang taruhnya serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest Johor dan rakan-rakan daripada pihak kerajaan dan swasta.
Jelasnya, IRDA akan menggunakan sepenuh peluang yang wujud daripada zon ekonomi ini untuk manfaat maksima ke arah menjadi metropolis bertaraf antarabangsa yang kukuh dan mampan.
“Iskandar Malaysia Investment Service Centre (IMISC), yang berada di bawah IRDA,
akan terus menyelaras, memudah cara dan menjadi penghubung di antara para pelabur dan pelbagai agensi kerajaan yang memberikan kelulusan dan sudah bersedia untuk menyokong pelaksanaan pusat sehenti untuk JS-SEZ.
Kami amat berterima kasih kepada pihak kerajaan pusat dan negeri Johor di atas usaha untuk menjayakan pembentukan zon ekonomi ini.