KOTA BHARU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan kerugian sebanyak RM328,700 sepanjang tiga gelombang banjir melanda negeri ini.
Pengarahnya Datuk Mohd. Zamri Abdul Aziz bagaimanapun berkata, jumlah sebenar jumlah tersebut akan diperoleh selepas semua sekolah yang terlibat selesai membuat laporan.
“Sekolah-sekolah yang terjejas dengan banjir itu melibatkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Krai, Pasir Mas dan Tumpat.
“Selain itu, semua murid yang terlibat dengan banjir dibenarkan berpakaian biasa untuk hadir ke sekolah pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Zamri memberitahu, langkah itu bertujuan memastikan murid dapat hadir ke sekolah untuk mengikuti sesi pembelajaran dengan sempurna.
“JPN Kelantan amat memahami masalah yang dihadapi oleh murid tersebut dimana ada pakaian mereka ditenggelami air semasa rumah mereka dilanda banjir.
“Insya-Allah, kita akan berusaha untuk mendapatkan bentuk bantuan yang sesuai bagi meringankan beban mereka yang memerlukannya,” ujarnya.-UTUSAN