JOHOR BAHRU: Beberapa kawasan di negeri ini kembali dilanda banjir hari ini ekoran hujan berterusan sejak malam tadi sehingga menyebabkan 330 penduduk terpaksa dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan sementara (PPS).
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memberitahu, kesemua mangsa banjir itu terdiri daripada 70 keluarga di empat daerah, iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang dan Mersing.
“Tujuh PPS yang dibuka setakat pukul 2 petang ini adalah PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Air Papan dan SK Tenglu di daerah Mersing; PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya dan PPS Dewan Kampung Sungai Tiram di Johor Bahru; PPS Dewan MPK Kahang di Kluang serta PPS SJKC New Kota dan PPS Dewan Pasak Indah di Kota Tinggi.
“Kesemua mangsa banjir mula dipindahkan ke PPS setelah kediaman masing-masing dinaiki air akibat hujan lebat yang berterusan sejak lewat malam semalam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor turut memberitahu, kejadian banjir di negeri ini tidak merekodkan sebarang kecederaan atau kematian melibatkan mangsa.
“Terdapat tiga laluan terputus hubungan, iaitu Jalan Kampung Orang Asli Peta, Jalan Johor Bahru -Endau dan Jalan Batu Pahat-Jemaluang, ketiga-tiga di Mersing.
“Sementara itu, Jabatan Meteorologi pula mengeluarkan amaran hujan berterusan hingga 7 Januari bagi hampir semua daerah di negeri ini kecuali Tangkak,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, paras air di Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang telah melepasi paras air bahaya. – UTUSAN