PADANG BESAR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri telah berjaya mengurangkan jurang pendapatan dan ekonomi rakyat melalui bantuan-bantuan yang telah disalurkan.
Selain itu, pelbagai peluang bagi menjana pendapatan disediakan tanpa mengira kaum bagi menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini.
Keseluruhan penerima bantuan kewangan bulanan aktif JKM adalah 9,151 melibatkan peruntukan RM40 juta setahun.
JKM Perlis turut menyertai Program Kayuhan MAIPs Peduli yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Ia turut meliputi program saringan kesihatan, memberi sumbangan dan menyantuni asnaf serta beramah mesra bersama rakyat negeri ini yang diketuai sendiri oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Kolaborasi ini secara tidak langsung mewujudkan rangkaian kerjasama pelbagai agensi negeri dan Persekutuan serta pihak swasta di Perlis dalam usaha untuk sama-sama membantu para penerima bantuan, mengenalpasti keperluan atau masalah dan mencari kaedah penyelesaian yang bersesuaian.
Pengarah JKM Perlis, Ku Chik Ku Mat Esa menyatakan sebanyak 240 buah keluarga telah disantuni dari lawatan ke rumah oleh JKM melalui 80 siri Program MAIPs Peduli pada tahun 2023.
Melalui program ini juga JKM berjaya menyenarai pendek mereka yang berkelayakan untuk diteruskan bantuan atau diberi kelulusan-kelulusan baharu.
Program yang berkonsepkan turun padang ini juga dapat mengenal pasti penerima bantuan sedia ada melalui kemaskini bantuan seperti permohonan yang tidak layak atau tidak menepati kriteria kelulusan bantuan yang ditetapkan.
“Saya juga ingin mempersembahkan ucapan tahniah dan menjunjung kasih kepada Tuanku Syed Faizuddin merangkap Yang Dipertua MAIPs yang merupakan tunjang pengerak program Kayuhan MAIPs Peduli ini.
“Baginda cakna menzahirkan komitmen tinggi dan berterusan serta sentiasa mengambil berat dan responsif perihal kebajikan rakyat khususnya golongan yang memerlukan di negeri ini,” kata Ku Chik.
Maklumat tersebut dikongsikan oleh Ku Chik selepas mengiringi baginda ke Majlis Sumbangan Agihan Zakat MAIPs yang diadakan di Masjid Ali bin Abi Talib Perawah, Datuk Kayaman, Bukit Keteri.
Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs kepada 70 orang asnaf terpilih dari kalangan anak kariah Perawah dan 70 orang lagi dari kariah Ngulang.
Setiap penerima mendapat sumbangan wang tunai sebanyak RM700 bagi menampung keperluan harian. Pihak MAIPs menyalurkan RM98,000 untuk program kali ini.-UTUSAN