SEREMBAN: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Sembilan kini menjalankan siasatan lanjut ke atas pihak pengurusan hotel membabitkan lokasi insiden seorang pekerja maut akibat percikan bunga api di Port Dickson, kelmarin.
Pejabat Pengarah JKKP Negeri Sembilan memaklumkan, sepasukan pegawai penyiasat telah diarahkan untuk menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11.50 pagi pada 31 Disember lalu.
“Hasil siasatan awal yang dijalankan didapati bahawa mangsa merupakan pekerja syarikat yang dilantik untuk mengendalikan pemasangan bunga api bagi sambutan tahun baharu.
“Mangsa bersama tiga orang rakannya sedang menyiapkan pemasangan bunga api di kawasan atas tempat letak kereta dan bunga api tersebut telah meletup secara tiba-tiba.
“Mangsa dilaporkan telah mengalami kecederaan pada muka dan anggota badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak perubatan dari Hospital Port Dickson,” katanya hari ini.
Menjelas lanjut, arahan kacau ganggu kawasan kemalangan bagi menjalankan siasatan lanjut kepada pihak pengurusan hotel juga telah dikeluarkan oleh pihak JKKP.
JKKP juga telah bertindak merampas beberapa dokumen berkaitan kerja-kerja yang dijalankan bagi tujuan siasatan lanjut.
“Adalah menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, perlu membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang aktiviti kerja dijalankan.
“Ini bagi menghapus atau mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan semasa aktiviti kerja dijalankan,” katanya lagi.-UTUSAN.