SEREMBAN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan masih belum memperoleh hasil keputusan sampel yang telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia berkaitan bahan buangan disyaki bahan berbahaya kepada alam sekitar yang ditemukan telah dilupus secara haram di Tanah Merah, Port Dickson baru-baru ini.
Pengarahnya, Hamzah Mohamad ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menunggu keputusan analisis daripada pihak Jabatan Kimia Malaysia bagi mengetahui jenis bahan berbahaya tersebut.
“Kes ini masih lagi dalam siasatan pihak kami termasuk bagi mengesan pelakunya, kami juga telah menutup kawasan berkenaan bagi mengelakkan kawasan itu diganggu dan diceroboh.
“Kami masih menunggu keputusan analisis kimia bahan buangan tersebut, ia masih belum dapat lagi daripada pihak Jabatan Kimia Malaysia,” katanya di sini semalam.
Media baru-baru ini melaporkan satu bahan buangan disyaki bahan berbahaya kepada alam sekitar ditemukan telah dilupus secara haram di satu kawasan ladang kelapa sawit di Tanah Merah, Port Dickson pada 12 Januari lalu.
Pihak JAS Negeri Sembilan telah menerima aduan mengenai pelupusan haram tersebut yang berlaku di premis Cypark dan Kualiti Alam Sdn. Bhd. (KASB) Port Dickson dan hasil siasatan menemukan bahan buangan berwarna kehijauan dan berbau seakan solvent (pelarut).
Kawasan kejadian terletak di kawasan ladang kelapa sawit dengan permukaan kecerunan yang berbeza menyebabkan buangan mengalir seterusnya bertakung di kawasan rendah.
Susulan itu, dua sampel dalam bentuk cecair telah diambil untuk dianalisis oleh pihak Jabatan Kimia Malaysia.-UTUSAN.