KOTA BHARU: Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung (Pembawa) meramalkan jangka hayat pengangkutan awam itu hanya mampu bertahan sekitar 10 bulan jika kerajaan tidak tampil membantu penyedia perkhidmatan tersebut.
Yang Dipertuanya Laili Ismail berkata, hal ini kerana pemain industri sedang berdepan pelbagai peningkatan kos seperti badan bas, casis, bahan api dan sebagainya yang menyebabkan berada dalam dilema untuk meneruskan operasi.
“Bantuan yang kami perlukan daripada kerajaan ialah dengan menguatkuasakan kategori dan spesifikasi perkhidmatan bas ekspres. Perkara itu melibatkan kategori ekonomi yang menawarkan tempat duduk 2+2 tanpa baris tempat duduk tunggal.
“Kategori eksekutif pula menawarkan tempat duduk 2+1 dengan satu baris tempat duduk tunggal. Bila peraturan ini tidak dikuatkuasakan, pemain industri berdepan dengan persaingan apabila ada syarikat yang menawarkan harga ekonomi menggunakan bas eksekutif,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Pejabat Urusan Ekpres Perdana di Teluk Mesira di sini hari ini.
Laili memberitahu, satu memorandum oleh Pembawa bersama Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) telah diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada 21 Disember lalu.
Katanya, memorandum itu yang bersifat ‘menang-menang’ bukan sahaja memanjangkan jangka hayat pemain industri namun memberikan manfaat kepada rakyat selaku pengguna.
“Rakyat (pengguna) boleh menggunakan perkhidmatan bas ekspres mengikut pilihan masing-masing.
“Selain itu, pengusaha dapat meneruskan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan sekali gus memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak,” ujarnya.
Laili berkata, Pembawa dan PMBOA berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan itu bagi memastikan bas ekspres ‘hidup’ untuk kemudahan rakyat.
“Pandemik Covid-19 dua tahun lalu memberikan kesan yang buruk kepada kami dalam sektor ini. Walaupun operasi sudah kembali pulih, namun kami berdepan dengan peningkatan kos dalam penyediaan perkhidmatan.
“Ada dalam kalangan pemain industri masih belum dapat beroperasi kesan pandemik tersebut,” katanya.-UTUSAN