Jambatan Bailey Jalan Kuantan-Segamat 80 peratus siap - Utusan Malaysia

Jambatan Bailey Jalan Kuantan-Segamat 80 peratus siap

MOHAMMAD FAKHRUDDIN MOHD. ARIFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pembinaan jambatan Bailey di kilometer 73 jalan Kuantan-Segamat yang ditutup kepada semua kenderaan sehingga 28 Januari ini ekoran kejadian tanah mendap sudah 80 peratus siap dan dijangka boleh digunakan dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff berkata, ketika ini hanya tinggal kerja-kerja membina jalan tar menuju jambatan Bailey tersebut.

Katanya, bagaimanapun ia bergantung kepada faktor cuaca di mana kerja-kerja memasang tar terbabit terpaksa dihentikan seketika.

“Pemasangan Bailey itu hampir selesai dan kita sekarang dalam proses pemasangan tar bagi pembinaan jalan menuju ke jambatan itu. Setakat ini hanya ada jalan batu.

“Jadi, jika cuaca sudah kering sedikit kita boleh ditar, insya-Allah kita akan buka dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media berhubung perkembangan jambatan itu di sini.

Mengulas kejadian tanah mendap di kuarters Sekolah Bandar 2 Paloh Hinai, Pekan, dekat sini pada 7 Januari lalu, Mohammad Fakhruddin berkata, wakil dari Bahagian Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang sudah pun membuat lawatan tapak ke kuarters itu pada 9 Januari lalu bagi melakukan pemeriksaan.

Katanya, pihaknya sedang menunggu laporan penuh dari JKR untuk dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP).

“Untuk jangka pendek, pihak JKR sudah melebarkan longkang di sekitar kuarters terbabit dan melencongkan aliran air dari kawasan tanah mendap ke sistem saliran sedia ada..Semua penghuni kuarters itu masih ditempatkan dalam kawasan sekolah iaitu di asrama sekolah berkenaan.

“Memang ambil masa sikit sebab kita nak pastikan kerja baik pulih dan penyelidikan berkaitan punca kejadian tanah mendap dapat diketahui dengan jelas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya