JELI: Penduduk dan pengguna jalan Jeli-Kuala Balah berhampiran Kampung Kubur Datuk di sini terputus hubungan selepas laluan yang menjadi nadi utama mereka runtuh hari ini.
Situasi itu menyebabkan lebih 2,000 lebih penggunaan terkandas dan terpaksa mencari alternatif lain.
Difahamkan, runtuhan itu dipercayai berlaku pada pukul 4 petang yang menyaksikan laluan tersebut ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan.
Seorang pengguna Nadia Natasha Ibrahim,33, berkata, situasi menyebabkan dia terpaksa menggunakan laluan Kuala Krai untuk pulang ke rumahnya di Kampung Pasir Jering.
“Saya terpaksa berbuat demikian kerana esok perlu bekerja,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Nadia Natasha memberitahu, kejadian itu diketahuinya semasa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menjadi sukarelawan banjir di Kampung Dalam Reka, Lubok Bongor.
Sementara itu Jabatan Kerja Raya (JKR) menerusi satu hantaran di laman Facebook memaklumkan laluan tersebut ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan.
Selain itu, papan tanda amaran turut dipasang menggelakan orang ramai menggunakan laluan tersebut.-UTUSAN