Jalan berlopak sejak dua bulan lalu bertambah teruk

Jalan berlopak sejak dua bulan lalu bertambah teruk

AHMAD Jusoh (kanan) dan Fauzan Abdul Aziz menunjukkan keadaan jalan yang berlopak serta kon yang diletakkan di Jalan Tunku Bendahara, Kulim. - UTUSAN/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Pengguna jalan raya yang melalui Jalan Tunku Bendahara di sini merayu pihak berkaitan membaiki laluan rosak yang mengundang masalah kepada orang ramai.

Mereka mendakwa jalan terbabit rosak berpunca daripada paip air bawah tanah yang dipercayai bocor sehingga menyebabkan permukaan jalan berlopak.

Seorang penduduk, Ahmad Jusoh, 65, berkata, masalah jalan rosak terjadi sejak dua bulan lalu, namun tiada tindakan daripada pihak berkenaan sehingga kini walaupun aduan sudah dibuat pada 23 November lalu.

“Disebabkan tiada tindakan, kerosakan jalan semakin lama semakin teruk berbanding dua bulan lalu. Untuk mengelak pengguna jalan raya terjatuh ke dalam lopak, penduduk meletakkan kon keselamatan sebagai amaran,” katanya ketika ditemui semalam.

Ahmad berkata, jalan berkenaan merupakan laluan utama orang ramai menghantar anak ke tiga sekolah rendah dan dua sekolah menengah agama di kawasan itu.

Katanya, laluan itu akan sibuk ketika sesi persekolahan waktu pagi dan tengah hari dengan banyak kenderaan keluar masuk termasuk kenderaan berat seperti lori dan bas sekolah.

Penduduk Kampung Tunku Bendahara, Fauzan Abdul Aziz, 40, berharap agar pihak yang berwajib supaya mengambil tindakan segera membaiki jalan rosak di kawasan itu.

Katanya, terdapat beberapa kesan kerosakan jalan di laluan terbabit antaranya di tepi Pejabat Pos Kulim dan hadapan Pejabat Veterinar Daerah Kulim.

“Saya sendiri mengalami kemalangan jalan raya pada tahun lepas selepas terbabas ketika menunggang motosikal akibat masalah jalan rosak,” katanya.

Aqillah Abdullah, 28, berkata, setiap hari dia terpaksa menempuh laluan yang sesak di kawasan itu untuk menghantar anaknya ke sekolah rendah.

“Ketika jalan itu tidak mengalami kerosakan sudah sesak waktu persekolahan, inikan pula kami terpaksa mengelak kon dan lopak, maka bertambahlah sesak lagi.

“Saya berharap pihak berkaitan dapat menyelesaikan isu terbabit secepat mungkin kerana kawasan itu melibatkan orang ramai dan turut menjadi lokasi tumpuan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya