ISKANDAR PUTERI: Golongan majikan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta diminta tidak mengejar keuntungan semata-mata, sebaliknya turut memberi penekanan terhadap usaha menjaga kebajikan dan kesejahteraan pekerja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan Persekutuan komited dalam memastikan bukan sahaja ekonomi negara membangun, malah kebajikan rakyat terbela.
Menurutnya, aspek kebajikan dan kesejahteraan pekerja akan membezakan model pembangunan ekonomi Malaysia dengan negara lain.
“Syarikat-syarikat yang untung, termasuk swasta harus beri perhatian kepada upah yang munasabah dan juga kebajikan staf seperti aspek kesihatan dan kediaman, ini perlu diberi penekanan.
“Majikan di Malaysia tidak boleh tinggal soal ihsan dan kemanusiaan, khususnya apabila melibatkan kakitangan mereka,” katanya berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Ekonomi, Mohd. Rafizi Ramli; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pengerusi Yayasan Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh.
Anwar menegaskan Malaysia mempunyai potensi untuk menjadi sebuah negara maju di peringkat global, namun usaha itu perlu dibuat dengan komitmen penuh, termasuk memerangi rasuah.
“Malaysia mampu diangkat sebagai sebuah negara maju, tetapi ada syaratnya, iaitu mesti menyentuh dasar penekanan negara Madani dan apakah ciri-ciri yang memungkinkan kita terangkat sebagai negara maju. – UTUSAN
“Untuk itu, majikan di negara ini perlu cemerlang dan punyai daya tahan, mampu beri sumbangan kepada rakyat dan negara agar dapat jadi negara dihormati dan dikagumi dunia,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan bahawa amalan lapuk seperti salah guna kedudukan dan ambil kesempatan, terima sogokan, kayakan diri dan amalan lain yang menyebabkan Malaysia kecundang mesti dihentikan.
“Jangan ada lagi amalan bila diberi jawatan, terus fikir nak kayakan diri dan anak isteri, walaupun saya tahu ada pihak tidak senang tindakan kita lawan rasuah tetapi negara ini harus bersih rasuah. Jika hilang bilion ringgit, peluang bangunkan sekolah, rumah rakyat, prasarana, pusat kesihatan dan hospital akan terbantut sebab wang dicuri.
“Biarlah orang nak cemuh tetapi percayalah, jikalau hendak selamatkan negara mesti bersihkan supaya jangan ada pemimpin curi harta rakyat dan negara,” tegasnya.