Jadi pengguna bijak, jangan sampai tarif baharu air membebankan - Utusan Malaysia

Jadi pengguna bijak, jangan sampai tarif baharu air membebankan

NOORMAN KAMSANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Orang ramai diminta menjadi pengguna yang lebih berhemah dalam penggunaan air seharian susulan pelarasan tarif baharu air yang berkuat kuasa 1 Februari ini.

Yang Dipertua Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Johor, Noorman Kamsani berkata, kenaikan kadar itu boleh menjadi beban kewangan tambahan kepada pengguna namun ia diperlukan untuk menampung kos operasi, penyelenggaraan infrastruktur dan pelaburan.

Langkah itu boleh menambah baik mutu perkhidmatan selain meningkatkan ketersediaan air bersih dan kualiti perkhidmatan jangka panjang.

“Kenaikan kadar baharu ini boleh mencetuskan rasa tidak puas hati dan bantahan masyarakat. Oleh itu, kerajaan dan penyedia perkhidmatan air perlu memastikan kenaikan tarif seimbang dengan usaha meningkatkan kecekapan pengurusan sumber air.

“Dalam masa sama, masyarakat perlu menjadi pengguna lebih berhemah dengan mempraktikkan langkah penjimatan praktikal bagi memastikan tidak terbeban oleh kadar baharu ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini..

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, pelarasan tarif air akan dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi pengguna kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa mulai 1 Februari ini.

Pelarasan itu melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu dan keputusan itu berdasarkan keperluan dan permintaan kerajaan negeri, namun kerajaan Persekutuan menerusi SPAN akan memantau secara dekat bagi memastikan penambahbaikan perkhidmatan air dilaksanakan selaras dengan kenaikan tarif berkenaan.

Mengulas lanjut, Noorman berkata, langkah penjimatan yang boleh dilakukan pengguna dengan memeriksa dan membaiki sebarang kebocoran paip di rumah termasuk kebocoran kecil yang boleh menyebabkan kerugian. 

Pengguna juga perlu membiasakan diri dengan amalan penggunaan air bijak seperti menutup paip apabila tidak digunakan semasa memberus gigi atau mencuci tangan.

“Selain itu, pengguna boleh memasang peralatan penjimatan air dan gantikan perkakas rumah dengan yang menjimatkan air seperti kepala pancuran mandian dan paip yang cekap menggunakan air,” katanya sambil meminta pengguna perlu bijak menggunakan mesin basuh tanpa bebanan penuh supaya tidak menggunakan banyak air.

Bagi yang minat bertani, mereka boleh menanam tumbuhan tahan kemarau yang memerlukan sedikit air dan gunakan air terpakai untuk menyiram tanaman,.

“Selain itu, pengguna boleh menapis dan menggunakan semula air hujan selain memasang pengumpul air hujan untuk digunakan semula. Pengguna juga disaran menggantikan tandas lama dengan yang menggunakan kurang air atau pertimbangkan untuk memasang kit siram yang menjimatkan air,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya