Israel pertahan tindakan, mohon ICJ tolak tuduhan genosid

Israel pertahan tindakan, mohon ICJ tolak tuduhan genosid penduduk Palestin

SIARAN langsung dipaparkan di jalan raya yang turut menunjukkan penunjuk perasaan pro-Palestin memprotes berhampiran Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada hari hakim mendengar permintaan langkah kecemasan untuk mengarahkan Israel menghentikan tindakan ketenteraannya di Gaza, di The Hague, Belanda.-REUTERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

THE HAGUE: Israel ketika diminta mempertahankan diri di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini hari ini menolak sekeras-kerasnya tuduhan Afrika Selatan bahawa pihak ketenteraan mereka melakukan genosid terhadap rakyat Palestin.

Malah, dalam sesi membela diri di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu, Israel menyifatkan dakwaan Afrika Selatan sebagai sangat diputarbelitkan.

Negara rejim Zionis itu turut menyeru hakim supaya menolak permintaan Afrika Selatan untuk menghentikan serangannya dengan alasan berbuat demikian untuk mempertahankan diri.

Afrika Selatan, yang memfailkan tuntutan mahkamah di ICJ pada Disember lalu, meminta hakim di ICJ, The Hague semalam mengenakan langkah kecemasan dengan mengarahkan Israel menghentikan serta-merta serangan itu.

Negara itu berkata, serangan udara dan darat Israel memusnahkan sebahagian besar kawasan terkepung dan membunuh lebih 23,000 orang, bertujuan untuk membawa kemusnahan penduduk Gaza.

Bagaimanapun, Penasihat Undang-Undang Kementerian Luar Israel, Tal Becker, memberitahu mahkamah bahawa tafsiran Afrika Selatan tentang peristiwa itu sangat diputarbelitkan.

“Sekiranya terdapat tindakan pembunuhan beramai-ramai, ia dilakukan terhadap Israel. Hamas melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap Israel.

“Penderitaan mengerikan orang awam, kedua-dua Israel dan Palestin, pertama sekali adalah hasil daripada strategi Hamas,” kata Becker sambil mengatakan bahawa Israel mempunyai hak untuk mempertahankan diri.

Menurut Becker, Israel dalam perang pertahanan menentang Hamas, bukan menentang rakyat Palestin.

Beliau memberitahu, niat untuk memusnahkan rakyat secara keseluruhan atau sebahagian, adalah tidak ada sama sekali.

Konvensyen Genosid 1948 yang digubal ekoran pembunuhan besar-besaran orang Yahudi dalam Holocaust Nazi mentakrifkan pembunuhan beramai-ramai sebagai tindakan yang dilakukan dengan niat untuk memusnahkan, secara keseluruhan atau sebahagian, kumpulan kebangsaan, etnik, kaum atau agama.

Israel melancarkan perangnya di Gaza selepas kejadian amuk rentas sempadan pada 7 Oktober lalu oleh pejuang Hamas yang bersumpah untuk memusnahkan Israel. 

Pegawai Israel berkata 1,200 orang di pihaknya terbunuh terutamanya orang awam dan 240 telah dijadikan tebusan kembali ke Gaza.

Hamas menafikan dakwaan Israel bahawa kumpulan pejuangnya bersembunyi dalam kalangan orang awam yang menyumbang sebahagian besar korban di Gaza.

Israel berhujah bahawa ini bermakna mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa di bawah Konvensyen Genosid untuk mengarahkannya menghentikan tindakan ketenteraan di Gaza.

“Ini bukan pembunuhan beramai-ramai, Afrika Selatan hanya memberitahu kami separuh daripada cerita,” kata peguam Malcolm Shaw.

Mahkamah dijangka membuat keputusan mengenai kemungkinan langkah kecemasan akhir bulan ini, tetapi, tidak akan memutuskan pada waktu itu mengenai dakwaan pembunuhan beramai-ramai. 

Prosiding itu boleh mengambil masa bertahun-tahun. Keputusan ICJ adalah muktamad dan tanpa rayuan, tetapi mahkamah tidak mempunyai cara untuk menguatkuasakannya.

Penyokong Palestin berarak dengan bendera berarak di kota The Hague sambil menonton prosiding pada skrin gergasi di hadapan ICJ. 

Semasa delegasi Israel bercakap di mahkamah, mereka melaungkan: “Pembohong! Pembohong!”

Ditanya apakah pendapatnya mengenai hujah Israel bahawa kempen Gaza adalah soal mempertahankan diri, Neen Haijjawi, seorang warga Palestin yang baru-baru datang ke Belanda berkata: “Bagaimanakah seorang penjajah yang telah menindas orang selama 75 tahun boleh mengatakan ia adalah mempertahankan diri?”

Penyokong Israel pulan mengadakan perhimpunan berasingan sambil memaparkan imej ahli keluarga tebusan yang diambil oleh Hamas.-REUTERS

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya