PERNAH mencuri perhatian menerusi beberapa lagu hits seperti Dari Mata dan Karma, penyanyi yang mencipta nama di Indonesia, Jaz Hayat kini lebih rapi menyusun strategi dan perancangan agar namanya lebih dikenali pencinta muzik Malaysia.
Jaz atau nama sebenarnya, Aziz Hayat, 31, kali ini sekali lagi mengintai peluang untuk berkolaborasi dengan artis tempatan untuk mengulangi kemanisan berkerjasama dengan penyanyi, Kaka Azraff menerusi lagu Karma yang diterbitkan sekitar dua tahun lalu.
“Saya sebenarnya menyimpan hasrat agar satu hari nanti dapat berduet dengan penyanyi rap seperti K-Clique. Tetapi sehingga sekarang masih belum berkesempatan.
“Selain itu, Zizan Razak juga pada saya seorang rapper yang cukup berbakat. Saya tak akan menolak sekiranya berpeluang untuk berduet dengan dia,” kongsinya menerusi platform Zoom, baru-baru ini.
Meskipun popular di negara seberang, penyanyi kacak ini sebenarnya lahir dan membesar di Brunei.
Jaz mula menjadi penyanyi profesional sejak tujuh tahun lalu, dia kini mampu tersenyum dengan pencapaian yang diraih menerusi lebih tujuh buah lagu yang dinyanyikannya.
Namun, anak kelahiran Bandar Seri Begawan ini tidak pernah berasa selesa dengan kedudukan sekarang, sebaliknya mahu terus berkarya untuk menggembirakan hati peminat.
“Tumpuan saya tetap pada kerjaya, tak pernah sekalipun saya merancang untuk berhenti menyanyi.
“Saya hargai peminat yang tidak pernah jemu, terus mengikuti perkembangan kerjaya saya sejak awal pembabitan saya dalam dunia seni.
“Saya pasti mereka sentiasa menantikan ‘buah tangan’ baharu dari saya. Jadi tak boleh berhenti, saya kena teruskan demi peminat,” kongsinya.
SERIBU TAHUN
Bercakap tentang buah tangan, Jaz baru-baru ini tampil dengan Seribu Tahun, sebuah lagu lama yang dinyanyikannya semula untuk dihadiahkan kepada peminat.
Tentunya penyanyi ini sekarang menarik nafas lega, kerana majoriti pendengar menyambut baik kelainan dan suntikan kreativiti yang dibawakan Jaz ke dalam lagu yang dipopularkan Imran Ajmain satu masa yang lalu.
“Pada saya, pemilik sesebuah lagu bukan penulis lirik, komposer atau penyanyi semata-mata, malah turut dipunyai pendengar. Pandangan mereka terhadap lagu ini juga amat bermakna.
“Sisi pandangan saya terhadap lagu ini mungkin juga berbeza dengan penyanyi asal. Begitu juga kefahaman terhadapnya, yang mana, pada saya lagu ini adalah sebuah pertanyaan dalam pertanyaan. Tiada penyelesaian ditemukan didalamnya,” kongsinya.