PASIR MAS: Pegawai polis berpangkat Inspektor akan dikenakan tindakan tatatertib jika terdapat bukti dia merogol saksi wanita yang hadir ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Tumpat untuk membantu siasatan satu kes.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya sama sekali tidak akan melindungi mana-mana pegawai atau anggota yang didapati melakukan kesalahan.
“Polis akan jalankan siasatan lebih teliti. Jadi beri ruang kepada kami untuk menjalankan siasatan itu dengan adil.
“Siasatan ini tidak hanya menjurus kepada kes rogol. Pada masa sama ia turut melibatkan tindakan tatatertib, jika akan bukti pegawai terlibat bakal berdepan hukuman,” kata beliau selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (P.J.P.N) Kontinjen Kelantan tahun 2024 di Ibu Pejabat Polis (IPD) Pasir Mas di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, wanita itu telah hadir ke IPD Tumpat pada pukul 7 malam kelmarin bagi membantu siasatan berkaitan kes pemerasan gambar lucah melibatkan rakannya.
Katanya, siasatan awal mendapati semasa kejadian hanya mangsa dan pegawai polis yang berusia 38 tahun itu berada di dalam pejabatnya di IPD Tumpat.
“Kesemua bukti-bukti yang ada di lokasi kejadian sudah diambil dan dihantar ke Unit Forensik untuk analisis,” katanya.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, seorang pegawai penyiasat berpangkat Inspektor direman tujuh hari selepas disyaki merogol seorang gadis yang dipanggil sebagai saksi.
Perintah reman yang bermula hari ini sehingga Isnin depan dikeluarkan Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi di Mahkamah Majistret Tumpat.
Tahanan reman itu bagi membolehkan pegawai polis tersebut disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.- UTUSAN