Inkues Baby Syifaa: Mahkamah keluar sapina, panggil jiran pusat asuhan jadi saksi - Utusan Malaysia

Inkues Baby Syifaa: Mahkamah keluar sapina, panggil jiran pusat asuhan jadi saksi

PIHAK peguam berbincang dengan ibu Baby Syifaa pada prosiding inkues kematian Baby Syifaa di Mahkamah Koroner Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahkamah Koroner Seremban hari ini mengeluarkan sapina ke atas seorang wanita  yang merupakan jiran sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan untuk hadir ke mahkamah sebagai saksi dalam prosiding inkues kematian bayi, Nour Rania Asyifaa atau Baby Syifaa pada dua tahun lalu.

Perintah itu dikeluarkan selepas wanita itu tidak hadir pada prosiding hari ini atas alasan tiada individu yang boleh menjaga anaknya dan anak sulungnya sedang menduduki Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) manakala suaminya pula bekerja di luar kawasan. 

Koroner, Datin Surita Budin menegaskan saksi berkenaan perlu hadir pada tarikh prosiding akan datang. 

Terdahulu, Pegawai Pengendali Inkues, Zahida Zakaria memberitahu saksi ke-28 tersebut bersedia memberi keterangan secara sidang video atau Zoom. 

Bagaimanapun Surita menolak permohonan untuk mengadakan perbicaraan inkues secara sidang video kerana wanita itu masih berupaya lagi untuk hadir ke mahkamah bagi memberi keterangan secara lisan.  

“Kalau nak buat secara Zoom perlu ada alasan yang munasabah, sakit atau orang tua yang susah nak datang mahkamah. Alasan UPKK dan tiada sesiapa jaga anak, bagi saya ia alasan remah. 

“Saya mahu serahan sapina secara rasmi kepada saksi itu untuk hadir pada tarikh akan datang dan jika dia gagal, saya akan keluarkan waran tangkap kepadanya,” katanya. 

Selain Zahida, pegawai pengendali terdiri daripada Zarifah Zulkafar dan Nor Azizah Mohamad manakala, keluarga Syifaa diwakili peguam Gaithri Thomas.

Mahkamah kemudian menetapkan prosiding inkues itu bersambung pada 29 April depan. 

Sebelum ini, media melaporkan, Nour Rania Asyifaa, 15 bulan, ditemui tidak sedarkan diri di dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.

Bapa bayi itu, Yuseri Yusoff mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN