Inkues Baby Syifaa: Amidon nafi keluarkan perkataan 'bunuh' - Utusan Malaysia

Inkues Baby Syifaa: Amidon nafi keluarkan perkataan ‘bunuh’

PIHAK peguam berbincang dengan ibu Baby Syifaa, pada prosiding inkues kematian Baby Syifaa di Mahkamah Koroner Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bekas Ketua Unit Siasatan Tempat Kejadian Jenayah (CSI) Makmal Forensik Bukit Aman, Amidon Anan menegaskan bahawa beliau tidak mengeluarkan perkataan ‘bunuh’ semasa perjumpaan dengan empat individu pada Julai 2022 di kediamannya berhubung kes kematian Baby Syifaa.

Kenyataan itu diberikan beliau menerusi sidang video sebagai saksi tambahan bagi prosiding inkues kematian Baby Syifaa atau nama sebenarnya Nour Rania Asyifaa Yuseri di hadapan Koroner, Datin Surita Budin di Mahkamah Koroner Seremban hari ini.

Amidon menjawab demikian selepas ditanya peguam, Gaithri Thomas yang mewakili keluarga bayi terbabit mengenai khabar angin pendapat itu telah diberikan Amidon dalam perjumpaan tersebut.

Menurut Amidon, ketika itu beliau tidak dimaklumkan mangsa sudah pun meninggal dunia atau mati disebabkan penderaan, namun dimaklumkan oleh tiga wanita termasuk ibu mangsa menyatakan mangsa telah didera tanpa dirinya melihat mangsa atau apa-apa bahan rujukan berhubung kes berkenaan.

“Saya tidak menggunakan perkataan dibunuh oleh sebab semasa mereka jumpa saya cuma perkataan penderaan sahaja yang diajukan kepada saya ketika itu. Saya tak dirujukkan apa-apa dokumen atau gambar berkenaan mangsa ketika perjumpaan dengan saya,” kata beliau semasa prosiding inkues berkenaan.

Ketika ditanya mengenai motif pertemuan berkenaan berlangsung tanpa sebarang dokumen oleh peguam keluarga, Amidon berkata beliau difahamkan mereka yang datang berjumpa dengannya itu termasuk seorang lelaki  yang merupakan bapa mangsa adalah bertujuan untuk mendapatkan nasihat bagi kes penderaan.

“Bila orang datang rumah, tanya pendapat takkan saya mahu halau mereka. Mereka mahu tanya pendapat, jadi saya berikan. Saya tidak berat kepada mana-mana pihak, tetapi disebabkan tiada dokumen dan lain-lain bahan, saya cuma nasihat mereka buat laporan polis secepat mungkin,” katanya lagi.

Terdahulu, pegawai pengendali terdiri daripada Zahida Zakaria, Zarifah Zulkafar dan Nor Azizah Mohamad memulakan prosiding dengan bertanyakan penglibatan Amidon dalam kes Baby Syifaa berkenaan.

“Pada tahun 2022, saya didatangi oleh tiga wanita yang saya tidak pernah jumpa dan saya terus jemput ke dalam bilik yang kita sedang bicara ni. Saya minta tujuan datang ke sini dan salah seorang wanita tersebut memberitahu ini adalah kes penderaan kanak-kanak.

“Saya ingatkan dia kata itu anak dia, dia tidak bawa anak datang dan tidak mempunyai gambar dirujuk kepada saya ketika itu. Selepas itu cerita salah seorang wanita tersebut yang saya percaya ibu kepada mangsa memberitahu ada kesan lebam-lebam di seluruh badan mangsa, saya nasihatkan kepada mereka untuk membuat laporan polis secepat mungkin,” katanya.

Amidon dalam pada itu bersetuju bahawa beliau bukanlah pakar dalam forensik patologi yang boleh memberikan keterangan atau pandangan namun mempunyai pengetahuan khusus dalam bidang forensik dan patologi berdasarkan pengalamannya sepanjang bertugas. 

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 23 Januari ini untuk prosiding seterusnya dengan memanggil seorang saksi awam.

Sebelum ini, media melaporkan, Nour Rania Asyifaa, 15 bulan, ditemui tidak sedarkan diri di dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan di sini pada 22 Februari 2022.

Pada 30 Mac 2022, bapa bayi itu, Yuseri Yusoff mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN