SEREMBAN: Seorang ibu tidak dapat menahan sebak apabila dia menerima anugerah siswazah cemerlang mewakili anaknya yang meninggal dunia tahun lalu pada Majlis Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan Siri 1 Tahun 2024 di sini hari ini.
Masriza Abd. Rahman, 49, berkata, anaknya, Allahyarhamah Farra Wahida Ibrashid yang merupakan siswazah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) meninggal dunia pada 20 Januari tahun lalu akibat penyakit talasemia yang dihidap sejak berusia tiga tahun.
“Arwah memang seorang anak yang kuat semangat terutama dalam pelajaran, walaupun dia tidak sihat, dia tetap gigih dan kuat berusaha untuk belajar walaupun dia sering berulang-alik ke hospital akibat penyakitnya itu, termasuk ketika di universiti, memang dia kuat semangat.
“Memang dia kerap memberitahu mahu sentiasa beri kebanggaan kepada saya, Alhamdulillah, walaupun dia sudah tiada inilah kebanggaan terakhir yang ditinggalkannya kepada saya.
“Dia mahu menjadi seorang pensyarah malah dia juga sudah mengisi permohonan untuk menyambung pelajaran di peringkat ijazah tetapi hasratnya itu tidak kesampaian,” katanya sebak ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut yang berlangsung di Bandar Sri Sendayan di sini.
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim dan Pengarah Yayasan Negeri Sembilan (YNS), Datuk Muhammad Nazri Kassim.
Aminuddin sewaktu berucap berkata, seramai 152 orang pelajar cemerlang yang diraikan pada majlis itu menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 seorang beserta sijil penghargaan.
Jelas beliau, penghargaan itu melibatkan perbelanjaan sebanyak RM760,000 sumbangan Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan.
“Seramai 148 orang penerima terdiri daripada graduan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan empat orang graduan dari institut pengajian tinggi dari United Kingdom,” katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, bagi meneruskan agenda pendidikan dan memastikan kesinambungan kecemerlangan pelajar, pihak YNS pada tahun ini akan terus mengagihkan bantuan komputer riba dan skim dermasiswa kepada mahasiswa dalam kalangan golongan memerlukan.
“Dalam Belanjawan 2024 Negeri Sembilan saya telah mengumumkan sejumlah RM3.6 juta bagi tujuan meneruskan skim dermasiswa sara hidup ini.
“Selain itu juga, segala keuntungan dan pendapatan yang dijana oleh pihak YNS berkat tata kelola yang baik dikembalikan semula untuk kepentingan pendidikan anak negeri dan program pembangunan mahasiswa dalam pelbagai aspek seperti kepemimpinan, kerjaya, kerohanian dan kemasyarakatan,” katanya.-UTUSAN.