Ibu kandung suruh dua anak nyanyi di tempat awam, raih RM12,000 sebulan

Ibu kandung suruh dua anak nyanyi di tempat awam, raih RM12,000 sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua beradik yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi ibu kandungnya sendiri dengan disuruh menyanyi di hadapan sebuah pusat beli-belah terkemuka di Banda Hilir di sini, diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), awal pagi ini.

Mangsa berusia 13 dan 15 tahun itu mampu mengutip sehingga RM12,000 sebulan hasil sumbangan orang awam terutama pelancong yang bertandang ke lokasi tumpuan itu.

Pengarah JKM Melaka, Zulkifli Hanifah berkata, ketika operasi dijalankan pada pukul 12 tengah malam tadi, ibu kepada dua kanak-kanak itu muncul selepas melihat anak-anaknya itu disoal siasat pihak berkuasa.

Jelasnya, walau apa sekalipun alasan diberikan waris contohnya untuk membantu keluarga, berdasarkan Akta Kanak-kanak 2001 tindakan penguatkuasaan boleh diambil JKM sekiranya wujud unsur-unsur eksploitasi terhadap mereka.

Katanya, mangsa menyanyi di lokasi itu sejak empat tahun lalu setiap hari dari pukul 8.30 malam sehingga 3 pagi.

“Kanak-kanak tersebut menyanyi sebagai dalih untuk meraih sumbangan orang ramai dengan kutipan hari biasa mencecah RM300 dan RM600 pada hujung minggu.

“Kita percaya ibu kanak-kanak ini meletakkan anaknya di situ untuk mencari sumber kewangan kerana ketika serbuan dilakukan wanita itu berada jauh dari mereka, jadi ia merupakan situasi yang mencurigakan,” katanya selepas selesai Operasi Tindakan Mengambil Orang Papa dak Kanak-kanak Berjadual di sekitar Banda Hilir.

Zulkifli berkata, semakan mendapati, wanita itu adalah penerima bantuan bulanan JKM manakala anak-anaknya masih bersekolah di sebuah sekolah di Bukit Katil di sini.

Ujarnya, untuk rekod pada 2023, kira-kira 45 kes eksploitasi kanak-kanak dikesan di negeri ini dengan 30 kes merupakan kes berulang termasuk membiarkan anak-anak melakukan aktiviti menjaja buah-buahan, bernyanyi dan menjual tisu.

“Kita akan mengambil tindakan pengawasan terhadap dua beradik ini tetapi sekiranya mereka ini perlu untuk kita lindungi demi masa depannya, kita akan ambil dan letakkan di rumah-rumah kebajikan supaya dapat jalani kehidupan normal di peringkat usia itu,” tegasnya.

Dalam operasi sama, JKM turut menyelamatkan seorang remaja bawah umur yang meraih sumbangan dengan memakai maskot serta lima gelandangan dikesan mengemis di kawasan tumpuan ramai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya