Ibu, anak antara yang diberkas edar dadah - Utusan Malaysia

Ibu, anak antara yang diberkas edar dadah

KAMARUL ZAMAN Mamat (tengah) menunjukkan peluru hidup dan dadah yang dirampas selepas sidang media di IPK Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang ibu dan anaknya antara tiga individu yang ditahan dalam operasi khas yang membongkar sindiket penyeludupan dadah dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru dan Iskandar Puteri, minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya turut membuat rampasan pelbagai jenis dadah lebih 24 kilogram (kg) bernilai lebih RM1.23 juta.

Ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia antara 40 hingga 61 ditahan di sebuah pangsapuri di kawasan Larkin kira-kira pukul 5.30 pagi.

“Modus operandi kegiatan sindiket pengedaran dadah ini adalah dengan menjadikan sebuah apartmen berpagar dan berpengawal yang disewa sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan. 

“Kegiatan sindiket pengedaran dadah yang didalangi seorang lelaki berusia 40 tahun itu telah aktif beroperasi sejak Oktober tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalannya, Deputi Komisioner M. Kumar.

Kamarul Zaman berkata dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh seramai 62,690 penagih.

Dalam serbuan tersebut, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan mencetak pil ekstasi seperti pencetak, pengisar, penimbang, loyang dan penapis.

Pihaknya turut menemukan lima butir peluru hidup bertulis ‘S3 9MM Luger’ dan ‘A USA 380 Auto’ yang disembunyikan dalam mesin basuh.

“Hasil saringan air kencing mendapati dalang utama sindiket itu positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai 46 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah selain merupakan individu dikehendaki bagi enam kes melibatkan jenayah dan dadah.

Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga hari ini dan pihak membuat permohonan sambungan reman untuk meneruskan siasatan di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya