Hutang: Juruteknik bakar rumah wanita dipenjara 54 bulan - Utusan Malaysia

Hutang: Juruteknik bakar rumah wanita dipenjara 54 bulan

Hon Heng (depan) ketika dibawa ke Mahkamah Bukit Mertajam, hari ini. - UTUSAN IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBERANG PERAI:  Seorang juruteknik dipenjara 54 bulan selepas mengaku bersalah kerana  membakar rumah serta merosakkan harta benda orang lain dengan sengaja ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini, hari ini.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan selepas mendengar dan menimbang hujahan yang dikemukakan  pihak pendakwaan serta pembelaan yang mewakili tertuduh iaitu Chow Hon Heng, 31.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa  melakukan  khianat di hadapan sebuah rumah di Taman Duku, Juru, Bukit Mertajam dengan menyebabkan kebakaran serta kerosakan harta benda kepada pemilik rumah tersebut.

Dalam kejadian  pukul 4.45 petang, 15 Oktober tahun lepas, tertuduh juga didakwa telah meninggalkan sekeping nota berbaur ugutan di hadapan rumah pengadu selain nombor telefon yang dipercayai digunakan di Singapura.

Mengikut pengadu seorang perempuan, perbuatan khianat itu dipercayai mempunyai kaitan dengan pinjaman yang telah dibuat oleh suami pengadu di Singapura sebelum ini.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda.

Sementara itu, ketika prosiding, tertuduh dimaklumkan telah insaf dengan perbuatannya dan pihak pembelaan mahu hukuman penjara yang dikenakan terhadap lelaki tersebut berjalan serentak dengan hukuman sedia ada memandangkan dia kini sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan di bawah seksyen yang sama di Penjara Tapah, Perak.

Mohd. Harith kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara selama 48 bulan selain didenda sebanyak RM5,000 dan kegagalan membayar denda berkenaan menyebabkan tertuduh perlu menjalani hukuman penjara tambahan selama enam bulan.

Tertuduh memilih  tidak membayar denda terbabit sekali gus sedia menjalani hukuman penjara maksimum sehingga 54 bulan yang bermula dari dia ditangkap iaitu pada 29 November tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN