GOMBAK: Keputusan firma Jepun yang dilaporkan menarik diri dalam projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur (KL)-Singapura tidak memberi kesan langsung terhadap Malaysia.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Jepun berhak membuat keputusan sama ada mahu terlibat dalam projek HSR atau tidak kerana ia masih di peringkat proses Permintaan Maklumat (RFI).
Sehubungan itu, katanya, masih banyak syarikat dari negara lain menyatakan minat untuk terlibat dalam projek berkenaan tanpa Jepun.
Menurutnya, RFI akan berakhir pada 15 Januari ini manakala keputusan syarikat-syarikat yang menyatakan hasrat dalam HSR hanya akan diketahui selepas itu, kemudian beralih ke peringkat dinamakan Proses Permintaan Untuk Cadangan (RFP).
“Tidak ada kesan pun, ada banyak syarikat lain (dari negara luar) yang akan masuk (dalam projek HSR). Kalau Jepun tidak berminat mahu masuk tender itu terpulanglah. Kitakan buat RFI secara terbuka? Mengapa kita (Malaysia) harus rasa tertekan?
“Sebab hanya satu pihak (Jepun) tarik diri, mungkin dia rasa tidak sesuai dengan model yang kita mahu laksanakan. Jadi, terpulanglah. Banyak pihak lagi bahkan beratus syarikat menyatakan minat.
“Harus diingat, sekarang kita belum sampai ke tahap tender, RFI sahaja, Jadi, banyak syarikat menyatakan minat, kita mahu tanya apa cara pelaksanaan mereka,” katanya.
Beliau ditemui selepas hadir ke sidang akhbar pengumuman Perkhidmatan KTM Komuter selama empat hari tiga malam sempena Thaipusam di Stesen KTM Batu Caves di sini, semalam.
Agensi berita antarabangsa memetik sumber melaporkan, firma Jepun membatalkan rancangan untuk terlibat dalam projek HSR KL-Singapura.
Penarikan Jepun dijangka memberi laluan kepada pesaing perniagaan dari China yang mengukuhkan lagi jejak mereka dalam pembinaan infrastruktur di Asia Timur selepas menyiapkan kereta api berkelajuan tinggi pada 2023 di Indonesia dan kini sedang membina satu lagi projek di Thailand.
Bagaimanapun, beberapa syarikat tempatan dilaporkan bercadang bekerjasama dengan syarikat China dan Eropah untuk membuat bidaan.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan akan meneliti kesan langsung susulan penarikan diri firma tersebut dalam projek HSR.
Pada Julai 2023, MyHSR Corporation Sdn. Bhd. (MyHSR) melancarkan proses RFI bagi membolehkan sektor swasta mengemukakan secara rasmi cadangan konsep HSR KL-Singapura melalui model perkongsian awam swasta.
Pelaksanaan proses RFI juga menandakan inisiatif kerajaan dalam usaha melaksana semula projek HSR KL-Singapura menerusi mekanisme pembiayaan dan model pelaksanaan baharu, selain usaha mempertingkat infrastruktur pengangkutan rel dan merancakkan ekonomi negara.
Tarikh akhir penyerahan RFI bagi projek HSR KL-Singapura dilanjut sehingga 15 Januari 2024, berbanding tarikh asalnya pada 15 November 2023.
Pada 27 Julai 2023, MyHSR Corp mengadakan taklimat RFI untuk projek HSR yang dikatakan menarik lebih 700 peserta tempatan dan asing.
Semasa penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat pada 12 Disember tahun lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan RFP akan bermula selepas tamat RFI yang bagi membolehkan sektor swasta yang berminat untuk membina dan mengendalikan projek HSR.
Kerajaan menjangkakan garis masa sebulan dari tarikh tutup itu dan akan membuat keputusan syarikat mana yang dapat melaksanakannya. – UTUSAN