KOTA BHARU: Hampir 300 daripada 35,000 bayi yang dilahirkan di negeri ini setiap tahun disahkan mempunyai penyakit jantung kongenital.
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, berdasarkan statistik lapan daripada setiap 1,000 bayi yang dilahirkan mengalami masalah tersebut.
Menurutnya, satu pertiga daripada jumlah bayi itu memerlukan rawatan awal sama ada secara pembedahan atau tanpa pembedahan.
“Hospital USM merupakan hospital tunggal di Pantai Timur yang menawarkan rawatan pembedahan untuk pesakit jantung kanak-kanak dimana 50 hingga 60 pembedahan dijalankan setiap tahun.
“Selain itu Hospital USM turut menawarkan rawatan jantung secara transkater untuk merawat pelbagai jenis penyakit jantung kongenital yang melibatkan seramai 100 hingga 120 orang pesakit setiap tahun,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara USM dan Yayasan Jantung Kongenital Malaysia (YJKM) di Kubang Kerian di sini hari ini.
Dr. Abdul Rahman memberitahu, kerjasama itu akan memberi manfaat kepada lebih ramai pesakit jantung kanak-kanak di Kelantan dan Terengganu untuk menerima rawatan lebih baik.
Katanya, YJKM turut bersetuju menampung caj rawatan hospital sehingga RM3,000 kepada pesakit yang memerlukan.
“Kerjasama yang berkuat kuasa selama setahun secara signifikannya dapat membantu dalam merawat pesakit jantung kanak-kanak. Usaha ini secara tidak langsung membantu meningkatkan kualiti hidup pesakit serta keluarga,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YJKM, Tan Chin Zhia berkata, Hospital USM merupakan pusat ketiga selepas Institut Jantung Negara (IJN) dan Hospital Pantai, Kuala Lumpur.
Katanya, sejak 2020 lalu YJKM sudah membantu lebih 15 pesakit jantung menjalani pembedahan.
“Selain itu, kita menyumbangkan sebanyak RM500,000 untuk keperluan peralatan di seluruh negara dan membantu pesakit jantung,” katanya.-UTUSAN