JOHOR BAHRU: Pelawak dan anggota Kumpulan Senario, Hamdan Ramli, 54, teruja dan bersemangat untuk meneruskan program ‘Wonderful Night with Senariounion’ semalam walaupun dalam keadaan tidak sihat.
Isterinya, Norhamalini Ahmed, 53, memberitahu, mereka sekeluarga terpaksa memujuk Hamdan untuk ke hospital kerana keadaan kesihatannya kurang baik apabila tiba di Johor Bahru, kelmarin.
“Selain enggan ke hospital, Hamdan juga meminta agar dia tidak ditidurkan kerana mahu meneruskan ‘show’ sempena ulang tahun ke-27 Senario, dia mahu bertemu peminat.
“Dia sangat teruja, tiada tanda-tanda sakit. Jadi, kami mohon peminat mendoakannya agar cepat sembuh,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini.
Sementara itu, anak bongsunya, Nur Natasya Umairah, 21, memberitahu, doktor yang merawat ayahnya mengesyaki Hamdan mempunyai masalah buah pinggang.
“Semasa perjalanan ke Johor Bahru, ayah ada mengadu demam, kami beri dia makan panadol. Selepas tiba di Johor Bahru dia mengadu badannya kurang sihat dan cirit birit sebelum kami memujuknya ke hospital.
“Ayah tetap kata mahu teruskan ‘show’ dan minta pergi hospital selepas itu, namun kami sekeluarga tetap pujuk dia agar cepat ke hospital, pergi (hospital) awal boleh balik awal, kemudian baru ‘show’.
“Semasa dibawa, pemeriksaan awal mendapati tekanan darahnya stabil dan diletakkan di Zon Hijau terlebih dahulu sebelum pemeriksaan lanjut mendapati keadaannya kritikal dan perlu ditidurkan,” katanya yang merupakan seorang penuntut di Selangor.
Program ‘Wonderful Night with Senariounion’ yang diadakan di sebuah hotel di bandar raya ini merupakan program berhibur sambil beramal bertujuan mengumpul sumbangan untuk membantu golongan artis veteran tanah air.
Selain itu, program yang turut menampilkan Azlee, Wahid, Apek dan Yasin itu juga diadakan sempena ulang tahun ke-27 kumpulan Senario. – UTUSAN