Hadkan kemasukan kenderaan berat atasi kesesakan trafik di TTJ - Utusan Malaysia

Hadkan kemasukan kenderaan berat atasi kesesakan trafik di TTJ

MBS menempatkan warden trafik bagi mengawal lalu lintas di lampu isyarat TTJ dan simpang pertama industri TTJ bagi memastikan tiada kenderaan lima tan memasuki kawasan perindustrian sekali gus mengelakkan kesesakan trafik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) mempunyai pelan kontigensi lain yang akan digunakan sekiranya kaedah awal ketika ini iaitu dengan mengehadkan kemasukan kenderaan berat bagi mengatasi kesesakan trafik di laluan kawasan perindustrian Taman Tuanku Jaafar (TTJ) di sini tidak berjaya.

Bagaimanapun kata Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali, setakat ini sejak kaedah itu dilaksanakan, kesesakan yang sering berlaku di kawasan terbabit terutamanya pada waktu puncak dapat dikurangkan.

Katanya, laluan berkenaan dihadkan bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di persimpangan Taman Tuanku Jaafar dan Taman Tuanku Najihah.

“Setakat ini maklum balas yang diterima berhubung kesesakan trafik di laluan masuk ke kawasan perindustrian TTJ melalui Jalan Tuanku Jaafar Barat sangat positif malah tempoh masa menunggu pun tidak lama.

“Sebelum ini, kesesakan teruk berlaku dari arah bandar Seremban sehingga sampai ke jalan utama arah ke TTJ. Dengan usaha yang dilakukan ini MBS turut menempatkan warden trafik di laluan tersebut bagi mengawal lalu lintas pada waktu puncak iaitu pada pukul 6.30 pagi sehingga 8.30 pagi dan pada pukul 5 hingga 7.30 petang.

” Warden trafik akan mengawal lalu lintas di lampu isyarat TTJ dan simpang pertama industri TTJ bagi memastikan tiada kenderaan lima tan memasuki kawasan perindustrian dan sekiranya didapati terdapat kenderaan berat memasuki laluan larangan, pemandu diminta lencongkan kenderaan terbabit,” katanya.

Masri berkata, MBS akan terus membuat pemantauan di kawasan tersebut sehinggalah larangan kenderaan berat masuk di laluan masuk ke kawasan perindustrian TTJ melalui Jalan Tuanku Jaafar Barat dapat diterima ramai.

“Sekiranya kaedah mengehadkan laluan bagi kenderaan berat ini tidak berjaya, MBS masih mempunyai pelan kontigensi lain yang akan digunakan untuk mengatasi masalah kesesakan yang dialami di kawasan tersebut,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya