KUALA TERENGGANU: Seorang guru wanita berusia 50-an ditemukan meninggal dunia di dalam rumah sewanya di Kampung Pengadang Baru, di sini, petang semalam.
Kejadian itu disedari pemilik rumah tersebut, Mohd. Asyraf Bakri, 30, yang ketika itu datang untuk meminta duit sewa bulanan selepas cubaan menghubungi mangsa sejak lebih seminggu lalu gagal.
Menurutnya, mangsa bekerja sebagai guru di sebuah sekolah menengah dan menyewa di rumah itu seorang diri sejak 13 tahun lalu.
Katanya, dia bersama ibunya pergi ke rumah mangsa, namun mereka mula rasa tidak sedap hati setelah tiada sahutan dari dalam rumah sebelum cuba membuka tingkap.
“Setibanya di situ, terhidu bau kurang menyenangkan dan kami cuba mengintai melalui tingkap di sekeliling rumah, namun tidak menjumpai apa-apa.
“Ketika saya membuka tingkap salah sebuah bilik, bau busuk yang sangat kuat menerpa dan saya hanya terbayang dia mungkin meninggal dunia kerana terjatuh di bilik air.
“Kami menghubungi polis yang datang dan sebaik sahaja masuk ke dalam, saya ternampak sekujur tubuh dalam keadaan berbaring seperti tidur di tepi dinding.
“Mangsa kurang bergaul dengan jiran malah pergerakannya juga banyak dengan kereta sewa. Jadi, ramai tidak perasan arwah tidak keluar rumah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. – UTUSAN