Guru terlibat sukan wajib ada sijil jurulatih

Guru terlibat sukan wajib ada sijil jurulatih

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Guru serta kakitangan yang terlibat dalam kejurulatihan sukan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diwajibkan mempunyai sijil di bawah Skim Pensijilan Kejurulatihan Kebangsaan kendalian Akademi Kejurulatihan Kebangsaan dan Institut Sukan Negara. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pembangunan Sukan dipengerusikannya, pagi tadi.

“Tambahan itu, mesyuarat bersetuju mewajibkan jurulatih sukan di bawah KPM/KPT mempunyai lesen kejurulatihan berdaftar yang aktif di bawah Skim  Pelesenan Kejurulatihan Kebangsaan dan Malaysia Sports Coach Registry (MSCR).

“Malah, mesyuarat turut mewajibkan guru Pendidikan Jasmani serta jurulatih sukan di bawah KPM dan KPT untuk memberi pendedahan kepada pelajar dan atlet mengenai elemen-elemen dalam Kod Sukan Selamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pembangunan Sukan memberi fokus kepada beberapa perkara termasuk pemerkasaan pembangunan sukan olahraga dan renang dan penambahbaikan ekosistem kejurulatihan melalui kolaborasi rentas kementerian.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menekankan, bakat-bakat atlet dalam kalangan anggota badan beruniform juga perlu diberi perhatian sebagai salah satu kumpulan yang boleh menyumbang kepada kecemerlangan sukan tanah air.

Selain itu, katanya, pembangunan bakat di peringkat akar umbi adalah amat penting bagi melahirkan atlet-atlet bertaraf antarabangsa. 

“Pemegang taruh utama seperti Kementerian Belia dan Sukan, KPM, KPT dan persatuan sukan perlu bergerak seiringan bagi mewujudkan satu ekosistem sukan berprestasi tinggi yang berstruktur dan efektif. 

Talent pool yang lebih luas memberi kelebihan bagi menggilap potensi atlet dari peringkat awal,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap pertandingan kompetitif yang dilaksanakan di semua peringkat merentas pelbagai sektor pendidikan dapat dipergiatkan lagi agar pencarian bakat untuk sukan berprestasi tinggi turut diperluaskan merentasi pelbagai sektor pendidikan termasuk sekolah swasta, sekolah antarabangsa dan institusi tahfiz.

“Insya-Allah, melalui mesyuarat seperti hari ini, saya yakin melalui penyelarasan yang baik antara kementerian, agensi dan semua pemegang taruh, pembangunan sukan negara akan dapat dipertingkatkan secara berstruktur dan mendapat hasil yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya