JEMPOL: Helah seorang penyelia kilang yang membuat laporan polis kononnya disamun dua lelaki dan mengalami kerugian RM3,500 akhirnya terbongkar.
Tindakan lelaki berusia 34 tahun yang berasal dari Bahau itu berjaya dihidu pihak polis setelah mendapati laporan yang dibuat di Balai Polis Batu Kikir di sini, malam semalam adalah palsu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, hasil soal siasat mendapati lelaki berkenaan telah menggunakan wang milik syarikat berjumlah RM2,160 untuk membayar hutang rumah dan kereta yang telah tertunggak selama tiga bulan.
“Suspek telah membuat laporan kononnya disamun oleh dua lelaki bersenjatakan parang dan menaiki motosikal jenis Yamaha LC pada pukul 8.45 malam tadi di Kampung Jawa, Serting Tengah.
“Dua penyamun berkenaan dikatakan telah melarikan diri dan membawa satu beg pinggang yang berisi wang tunai RM3,500, telefon bimbit serta dokumen penting mangsa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Ujar Chang Hook lagi, susulan laporan berkenaan, pihak polis telah membuat hebahan dan tujuh balai polis di daerah ini telah bersedia untuk mendirikan Op Tutup namun hasil soal siasat mendapati laporan berkenaan adalah laporan palsu.
“Saya menasihati orang awam supaya jangan cuba membuat laporan polis palsu untuk kepentingan diri sendiri sehingga membazir tenaga dan masa anggota polis untuk menyiasat kejadian jenayah yang tidak berlaku.
“Polis akan melengkapkan siasatan setelah kebenaran untuk menyiasat diperoleh daripada Timbalan Pendakwa Raya dan kertas siasatan akan dirujuk untuk cadangan pertuduhan,” katanya.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan, denda sehingga RM2,000 jika sabit kesalahan.-UTUSAN.