ANAMIZU: Anggota penyelamat Jepun kini bergelut dengan hujan lebat, jalan raya yang tersekat dan berdepan dengan gempa susulan selepas gempa bumi kuat mengorbankan sekurang-kurangnya 73 orang dan menyebabkan puluhan ribu penduduk terputus bekalan elektrik atau air.
Di seluruh wilayah Ishikawa di pulau utama Honshu, siren berbunyi ketika kenderaan kecemasan cuba melalui jalan raya yang tersekat oleh batu dan pokok tumbang.
Semenanjung Noto paling teruk dilanda gempa bumi berukuran 7.5 magnitud pada 1 Januari lalu dengan bandar pelabuhan seperti Wajima dan Suzu kelihatan seperti zon perang dengan jalan berlumpur, rumah rata dan bot karam.
“Saya tidak boleh kembali ke sana. Ia tidak boleh didiami sekarang. Ia membuatkan saya sedih dan saya akan merinduinya,” kata Yoko Demura yang berusia 75 tahun dari pusat perlindungan di bandar Nanao selepas rumahnya runtuh kepada AFP.
Hampir tiada rumah kukuh berdiri di satu bandar di kawasan Suzu, kata Datuk Bandarnya, Masuhiro Izumiya.
“Kira-kira 90 peratus rumah (di bandar itu) musnah sama sekali atau hampir sepenuhnya… keadaannya benar-benar malapetaka,” katanya, menurut penyiar TBS.
Kerajaan serantau mengesahkan 73 orang maut dan hampir 400 cedera, tetapi jumlah korban dijangka meningkat.
Lebih 33,400 orang berada di tempat perlindungan dan sekurang-kurangnya 200 bangunan runtuh.
Kira-kira 30,000 isi rumah masih terputus bekalan elektrik di wilayah Ishikawa, kata pengendali utiliti tempatan dan lebih 110,000 isi rumah ditinggalkan tanpa bekalan air.
“Lebih 40 jam berlalu sejak bencana itu. Kami menerima banyak maklumat tentang orang yang memerlukan penyelamatan dan ada orang menunggu bantuan,” kata Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida selepas mesyuarat pasukan petugas kecemasan.
Bilangan anggota tentera yang dihantar ke kawasan itu meningkat dua kali ganda dengan lebih banyak anjing penyelamat turut dikerahkan, tambahnya.
Banyak makanan dan bekalan kecemasan telah tiba di wilayah itu, tetapi penghantaran kepada masyarakat terhalang oleh keadaan jalan raya, kata pihak berkuasa wilayah.
“Talian hayat kami terputus,” kata Yuko Okuda, 30, dari pusat pemindahan di bandar Anamizu.
“Elektrik, air dan gas, semuanya. Dan apabila gegaran susulan terus berlaku, rumah kami boleh runtuh pada bila-bila masa,” katanya kepada AFP.
Gempa kuat itu, diukur pada 7.6 oleh pejabat cuaca Jepun, adalah salah satu daripada lebih 400 gempa bumi yang menggegarkan wilayah itu hingga pagi semalam.
Gegaran utama mencetuskan ombak sekurang-kurangnya 1.2 meter tinggi di Wajima, dan beberapa siri tsunami yang lebih kecil dilaporkan di tempat lain.
Jepun mengalami beratus-ratus gempa bumi setiap tahun dan kebanyakannya tidak menyebabkan kerosakan dengan kod bangunan yang ketat dilaksanakan selama lebih empat dekad.
Gempa bumi melanda wilayah Noto dengan kekuatan dan kekerapan yang semakin meningkat sejak lima tahun lalu.
Yoshihiro Ito dari Institut Penyelidikan Pencegahan Bencana Universiti Kyoto memberitahu AFP, jumlah gempa susulan yang tinggi adalah hasil daripada sistem sesar ‘kompleks’ di bawah semenanjung,
Jepun dihantui oleh gempa bumi besar 9.0 magnitud di bawah laut pada 2011 yang mencetuskan tsunami yang menyebabkan kira-kira 18,500 orang maut atau hilang.
Ia juga membanjiri loji atom Fukushima, menyebabkan salah satu bencana nuklear terburuk di dunia.-AFP