PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) mahu memperkenalkan Gelombang Malaysia bagi melonjakkan sektor pelancongan negara sebagai persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, inisiatif baharu itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Wisma Putra dalam misi menjayakan Gelombang Malaysia di luar negara.
“Ketika ini kita ada 34 cawangan Tourism Malaysia dan 11 pejabat wakil pemasaran di seluruh dunia yang sedia bergandingan dengan pihak kedutaan,” katanya ketika berucap dalam Program Penyerahan Busana Tradisional di sini, semalam.
Motac ketika ini dalam persiapan melaksanakan VM2026 yang menyasarkan kedatangan 35.6 juta pelancong luar dengan unjuran perolehan pendapatan mencecah RM147 bilion.
Gelombang Malaysia diinspirasikan daripada kejayaan Korean Wave atau Hallyu yang diperkenalkan negara itu akhir 1990-an lalu dengan mempromosikan kebudayaannya ke seluruh dunia.
Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya ada membuat persediaan untuk VM2026 malahan pelbagai program diatur pada tahun ini meliputi peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN baharu pada 2025 kelak yang akan mengambil alih jawatan tersebut daripada Laos, akhir tahun ini. – UTUSAN