CAMERON HIGHLANDS: Penduduk di selatan semenanjung diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan agensi kerajaan lain bagi menghadapi luluran gelombang keempat monsun timur laut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, susulan kejadian banjir yang kembali melanda Johor kini, beliau melihat kerjasama antara kesemua agensi bagi menghadapi monsun itu dilihat bertambah baik berdasarkan pengalaman sebelum ini.
Katanya, kerajaan negeri dan seluruh agensi terlibat juga sudah memobilisasikan aset dan kemudahan-kemudahan yang disediakan.
“Luluran gelombang keempat MTL telah beralih ke Selatan dan saya harap tindakan-tindakan segera dilakukan mengikut SOP ditetapkan oleh Nadma, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan agensi-agensi terlibat,” katanya dalam sidang akhbar ketika melakukan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kampung Orang Asli Sungai Ruil, di sini hari ini.
Seramai 88 mamgsa dari 17 keluarga Orang Asli Sungai Ruil ditempatkan di PPS itu susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku 12 Oktober lalu.
Mengulas lanjut kejadian banjir yang melanda Johor kini, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, jumlah mangsa di negeri terbabit menunjukkan peningkatan.
“Setakat ini, lima buah daerah terlibat dan beberapa PPS sudah dibuka untuk menempatkan mangsa banjir terbabit,” katanya.
Menurut Pusat Kawalan Bencana Negara Nadma , seramai 1,197 mangsa banjir di Johor berlindung di 12 PPS setakat 6 pagi ini, meningkat sedikit berbanding 1,153 malam tadi.
Seramai 793 mangsa ditempatkan di lapan PPS di Kota Tinggi, 277 mangsa di dua PPS di Mersing manakala sebuah PPS masing-masing di Johor Bahru (43 mangsa) serta Kluang (84 mangsa). – UTUSAN