SEREMBAN: Gangguan bekalan air yang dialami sebahagian penduduk di Nilai, Lenggeng, Sendayan dan Bandar Springhill di Port Dickson ekoran kerosakan pada penyambung saluran di Empangan Sungai Triang-Petaseh, Jelebu, dijangka dapat diselesaikan lewat petang ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerosakan tersebut telah menjadi punca air tidak dapat dipam terus ke ke Loji Rawatan Air (LRA) Ngoi Ngoi dekat Pantai, di sini.
“Susulan itu, kerja-kerja baik pulih kerosakan yang berlaku telah dilakukan bermula pada malam tadi dan dijangka akan dapat diselesaikan selewat-lewatnya petang ini.
“Kebiasaannya margin bekalan sumber air mentah yang disalurkan bagi kawasan Lenggeng; Nilai; Enstek dan Sendayan adalah sekitar kapasiti 170 juta gelen sehari (MLD) tetapi sekarang ia menurun sebanyak 150 MLD iaitu berkurangan 20 MLD.
“Dengan kekurangan ini ia telah menyebabkan tekanan air di kawasan-kawasan tinggi di hujung jajaran paip ini telah terganggu. Gangguan bekalan air terawat ini berlaku sejak beberapa hari lepas,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Menteri Besar menjelaskan, kejadian banjir baru-baru ini telah menyebabkan impak serta kerosakan pada pam sedia ada di Petaseh ditambah pula dengan kerosakan penyambung saluran di Empangan Sungai Triang menyebabkan masalah tersebut berlaku.
Sementara itu, dalam perkara berasingan, Aminuddin berkata, kerajaan negeri mengharapkan pihak penguat kuasa dapat terus meningkatkan operasi penguatkuasaan dalam usaha membanteras warga asing daripada terus bermaharajalela di negeri ini.
“Mereka ini (warga asing) dilihat telah semakin berani dengan ‘tawan’ pasar malam dengan mengambil kesempatan berniaga di situ yang secara terang-terangan tindakan itu tidak boleh.
“Bagaimanapun, kita tidak boleh mengalah dan pihak berkuasa perlu secara berterusan melakukan operasi dan tidak harus dibuat secara bermusim,” katanya.-UTUSAN.