JOHOR BAHRU: Komisioner Polis, M. Kumar, 55, akan menerajui pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor daripada Datuk Kamarul Zaman Mamat yang bersara wajib akhir bulan ini.
Beliau adalah Timbalan Ketua Polis Johor pada ketika ini.
Kekosongan jawatan Timbalan Ketua Polis Johor itu akan diisi oleh Ketua Penolong Pengarah (Tadbir urus/Kepolisan Am) Bahagian Integriti, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Deputi Komisioner Afandi Senin, 60.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyifatkan gandingan baharu itu sebagai ideal dan bertepatan untuk menjaga keamanan dan keselamatan negeri ini.
“Saya lihat kepimpinan tertinggi Johor yang baharu ini adalah sangat ideal. Kumar adalah seorang pegawai berdedikasi dan banyak pengalaman, malah beliau pakar dalam undang-undang yang menjadi kelebihannya. Timbalannya, Afandi adalah orang Kluang yang kita letakkan untuk membantu Kumar. Beliau ada pengalaman yang sangat luas, sebelum ini duduk di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard dan merupakan Pengerusi Masjid Bukit Aman.
“Jadi kedua-dua figura ini sangat bersesuaian untuk menjadi kepimpinan tertinggi dalam PDRM di Johor,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor, Timbalan Ketua Polis Johor dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Johor di IPK Johor, di sini hari ini.
Kumar sebelum ini pernah bertugas Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Perlucutan Hak dan Harta/Perundingan/Siasatan) Bukit Aman pada 2020 hingga Oktober 2022 sebelum berpindah ke PDRM Johor bagi menggalas tugas Timbalan Ketua Polis Johor.
Afandi pula merupakan Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Hal Ehwal Pesara Polis) Jabatan Pengurusan Bukit Aman pada 2018 hingga 2021 sebelum berpindah ke Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman memberi pesanan terakhirnya agar pegawai dan anggota polis sentiasa memberi sokongan untuk memastikan pasukan PDRM terus relevan sepanjang masa.
“Walau siapa pun pemimpin, itulah tempat kita menumpahkan taat setia dan menjadi pegawai dan anggota polis yang kental serta berani selain sentiasa mengikut peraturan dan undang-undang,” katanya. – UTUSAN