PETALING JAYA: Syarikat-syarikat di Malaysia dijangka menaikkan gaji keseluruhan pekerjanya pada tahun ini iaitu melibatkan eksekutif, pengurusan, pekerja profesional dan kakitangan sokongan sebanyak lima peratus.
Perkara itu diperoleh hasil tinjauan WTW mengenai pampasan yang dilakukan oleh syarikat penasihat global, broker dan penyelesaian.
Dalam kenyataan WTW berkata, walaupun unjuran kenaikan gaji bagi tahun ini lebih rendah berbanding tahun sebelum iaitu 5.6 peratus pada 2023 tetapi kekal menyaksikan purata kenaikan gaji meningkat dengan stabil sejak beberapa tahun lalu.
“Trend yang sama dilihat dalam pelbagai industri di dalam Malaysia untuk tahun ini, Namun, tekanan, kebimbangan terhadap pasaran buruh dan inflasi terus menjadi faktor yang mempengaruhi kenaikan gaji,” lapornya.
Kaji selidik mengenai Jumlah Pampasan di Malaysia yang dijalankan pada Oktober lalu menyaksikan penyertaan lebih daripada 600 syarikat.
Tinjauan WTW itu turut mendapati bahawa golongan melenium (individu lahir antara tahun 1981 dan 1996) dan Gen Z (individu lahir antara tahun 1997 dan 2012) akan membentuk lebih daripada 70 peratus tenaga kerja menjelang tahun hadapan.
Jelasnya, sejak tahun lalu golongan milenium dan Gen Z diambil bekerja di dalam pelbagai industri iaitu perbankan, insurans, teknologi, media dan permainan serta perkhidmatan perkongsian dan penyumberan luar.
“Menjelang tahun 2025, WTW menjangkakan golongan milenium dan Gen Z akan membentuk lebih 70 peratus tenaga kerja,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Pekerja dan Ganjaran WTW bagi Asia Tenggara dan Malaysia, Tan Juan Jim berkata, pasaran buruh Malaysia kini sedang mengalami perubahan walaupun inflasi sedang menurun daripada paras tertinggi sejak beberapa tahun lalu.
SUKARELA
Katanya, terdapat penambahan dan pengurangan secara sukarela mencapai paras tertinggi 18.5 peratus pada 2023 berbanding 16.5 peratus pada 2022 dan trend itu kelihatan akan berterusan pada 2024.
“Majikan di Malaysia akan terus menghadapi cabaran bakat (pekerja berkemahiran) yang ketara termasuk usaha menarik dan mengekalkan bakat penting.
“Mereka perlu mengimbangi keseluruhan pakej ganjaran, melibatkan kewangan dan bukan kewangan untuk kekal berdaya saing dan sejajar dengan keperluan dan kehendak pekerja,” jelasnya.
Tambahnya, pekerja kini mempunyai pilihan sama ada dalam ekonomi gig dan passion economy (ekonomi berdasarkan minat) yang ditubuhkan dengan matlamat untuk memberi pilihan alternatif kepada kumpulan tersebut menjana pendapatan.
“Keterjaminan pekerjaan tidak lagi menjadi fokus utama tetapi memahami kumpulan pekerja Gen Z yang baru muncul adalah merupakan perkara yang penting.
“Organisasi yang menyediakan fleksibiliti kerja lebih besar termasuk menawarkan pilihan kerja jarak jauh, di pejabat atau hibrid akan menarik dan mengekalkan lebih ramai bakat-bakatnya.
“Trend bekerja tersebut menawarkan Gen Z lebih banyak pilihan untuk mempunyai pelbagai kerja sampingan dan pada masa sama mengekalkan pekerjaan ekonomi tradisional mereka,” katanya. – UTUSAN