PETALING JAYA: Kerajaan dijangka memperkenalkan format baharu pengisytiharan harta oleh anggota pentadbiran kerajaan dan ahli parlimen dengan lebih telus untuk dikuatkuasakan semula.
Bagaimanapun, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO), format baru tersebut masih di peringkat perbincangan oleh Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) sebelum ia dibentangkan ke mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
“Selaras dengan prinsip ketelusan, JKKTN juga membincangkan tentang format baharu pengisytiharan harta oleh anggota pentadbiran dan ahli parlimen untuk dikuatkuatkuasakan semula. Format baharu ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
“Kerajaan kekal komited untuk memperkukuh agenda tatakelola baik selaras dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Pada masa sama, dalam mesyuarat JKKTN yang bersidang pada hari ini, PMO berkata, antara perkara dibincangkan adalah langkah pemantapan tatakelola Badan Berkanun Persekutuan (BBP) melalui pengukuhan pelaksanaan peraturan dan prosedur pengurusan Badan Berkanun Persekutuan.
Menurut kenyataan itu, satu Garis Panduan baharu telah dipersetujui untuk menggantikan Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 1998 dengan menggariskan beberapa pembaharuan berhubung pengukuhan tatakelola.
PROSES
“Antara yang dipersetujui adalah memperkukuh proses pelantikan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah BBP berdasarkan kriteria telus serta mewajibkan proses penilaian wajar melalui semakan keutuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), insolvensi dan tapisan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Program pembangunan kapasiti Ahli Lembaga Pengarah BBP turut ditekankan dalam Garis Panduan ini,” katanya.
Selain itu, antara yang dibincangkan adalah untuk memperkasakan peranan Audit Dalam secara menyeluruh di peringkat BBP termasuk syarikat dan perbadanan.
“Memperkukuh struktur dan komposisi keahlian Lembaga Pengarah dengan mewajibkan penglibatan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) khususnya kepada BBP yang menerima peruntukan Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT).
“Pada masa sama, memperkukuh pengesanan, kawal selia dan tatakelola BBP melalui platform yang dikenali sebagai Sistem Badan Berkanun (SBSys) bagi tujuan pelaporan berkala kepada Perdana Menteri,” katanya.
Menurut kenyataan itu, badan berkanun merupakan salah satu cabang sektor awam yang penting dan memerlukan pengurusan tatakelola yang baik.
Pada masa sama, sumbangan badan berkanun sebagai badan awam bukan sahaja mempengaruhi pertumbuhan ekonomi negara tetapi ia juga menjadi penyokong kepada pelaksanaan strategi oleh agensi pusat serta jabatan kerajaan yang lain.
“Melalui Pantau Madani, pemantauan Badan Berkanun Persekutuan akan dilaksanakan dengan lebih berkesan melalui pemerkasaan peranan ICU, Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara serta Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU).
“Pelaksanaan Garis Panduan ini adalah menjadi keutamaan untuk mendukung agenda Madani melalui pemerkasaan BBP,” katanya.- UTUSAN