PEKAN: Penduduk Felda Chini Timur di sini tidak menyangka akan berdepan dengan bencana banjir teruk selepas 35 tahun mendiami tanah rancangan terbabit.
Hujan lebat sejak semalam menyebabkan 15 keluarga terdiri dari 64 mangsa di tanah rancangan itu terpaksa dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Felda Chini Timur 3, di sini.
Salah seorang mangsa, Abd. Razak Md. Daud, 62, berkata, dia sudah merasa tidak sedap hati melihatkan keadaan hujan lebat luar biasa dan dalam tempoh yang lama.
“Saya tengok keadaan hujan lain macam dan saya terus suruh dua anak bantu angkat barang-barang dapur ke tempat yang lebih tinggi.
“Ketika itu jam menunjukkan sekitar pukul 2 petang. Air naik terlalu mendadak sehingga bahagian ruang tamu ditenggelami air paras lutut,” katanya di sini hari ini.
Seorang lagi mangsa, Abdul Halim Awang, 63, juga turut mengakui terkejut dengan situasi banjir yang melanda Felda berkenaan berikutan hujan lebat luar biasa.
Kata bapa tiga anak itu, dalam sejarah hidupnya dan selama menetap di Felda Chini Timur 3 sejak 1989, itu kali pertama dia merasai pengalaman berhadapan dengan banjir.
“Sebelum ini, kalau hujan, rumah tidak pernah naik air. Kalau hujan lebat sekali pun, tidak pernah lagi air naik ke dalam rumah. Setakat bahagian belakang dapur sahaja,” katanya.
Menurutnya, air naik terlalu mendadak sehingga tidak sempat menyelamatkan barangan di rumah.
“Semalam masa pindah, air sudah satu meter dan sekarang saya tidak tahu apa terjadi dengan barang-barang di dalam rumah saya,” katanya. – UTUSAN