FAMA seru petani sertai KPLK kekang 'orang tengah'

FAMA seru petani sertai KPLK kekang ‘orang tengah’

ABD. Rahman Mahmood (dua kiri) semasa meninjau gerai jualan sayur-sayuran pada Program Jualan Agro Madani di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu,Kelantan.UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengajak para petani di negara ini untuk menyertai Program Khidmat Pemasaran Ladang Kontrak (KPLK) dalam usaha mengekang kewujudan orang tengah sekali gus dapat mengawal kestabilan harga sayur-sayuran dan buah-buahan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Abd. Rahman Mahmood berkata, program itu turut membantu pihaknya mengumpul data lengkap berkaitan hasil tanaman bagi pelaksanaan dan perancangan masa hadapan.

“Kalau semua petani dan pengeluar berdaftar dengan FAMA atau agensi-agensi kerajaan yang lain, kita dapat mengurangkan penglibatan orang tengah.

“Pada masa sama, ia dapat menyelesaikan masalah bekalan sekiranya berlaku kejadian seperti bencana. Namun, kebanyakan mereka (petani dan pengeluar) tidak mahu mendaftar disebabkan beberapa faktor termasuk takut dikenakan cukai selain kaedah penanaman tidak memenuhi piawaian ditetapkan,”katanya kepada pemberita selepas Program Jualan Agro Madani di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini hari ini.

Ab. Rahman memberitahu, sehingga kini terdapat seramai 3,232 petani telah menyertai program KPLK di seluruh negara yang membabitkan penanaman sayur-sayuran serta buah-buahan.

Katanya, FAMA ketika ini sedang menggalakkan penglibatan lebih ramai penyertaan dengan menyasarkan pertambahan seramai 1,000 peserta KPLK baharu setiap tahun.

“Program KPLK adalah bertujuan untuk memastikan hasil pertanian di bawa terus kepada pengguna tanpa menggunakan orang tengah.

“Dari situ juga ia dapat mengawal harga sayur-sayuran dan buah-buahan berbanding keadaan sekarang sekali gus membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat di bawah komponen makanan segar,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya