PETALING JAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tiada wakil kerajaan negeri Perlis yang membangkitkan isu permohonan peruntukan khas semasa Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan (JKPPK).
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, Exco Pelancongan Perlis (Wan Badariah Wan Saad) tidak menyampaikan hasrat Kerajaan Perlis semasa menghadiri Festival Kraftangan Wilayah Utara di Perlis bersama-sama Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Roslan Abdul Rahman.
“Namun Wan Badariah langsung tidak menyampaikan hasrat Kerajaan Perlis untuk menjayakan Tahun Melawat Perlis sepanjang program diadakan. Adakah ini percubaan untuk sengaja mensensasikan isu ini? Ia sudah tentu menimbulkan persoalan yang harus diperjelaskan.
“Siaran media saya sebelum ini menyebut bahawa lebih RM3.5 juta diperuntukkan pada 2023 untuk meningkatkan pelancongan Perlis, membuktikan kesaksamaan kementerian terhadap semua negeri dan menolak dakwaan meminggirkan Perlis.
“Jika Perlis benar-benar terpinggir, mengapa negeri ini diperuntukkan dana? Komitmen MOTAC untuk mempromosikan pelancongan negara adalah teguh, jadi tidak perlu membuat kenyataan yang mengelirukan,” katanya di dalam satu kenyataan.
DITERIMA
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Mohd. Shukri mendakwa tiada sebarang maklum balas diterima berhubung peruntukan daripada MOTAC untuk tujuan naik taraf lokasi pelancongan khususnya sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.
Mengulas lanjut, King Sing berkata, Mohd. Shukri perlu membuat pertimbangan teliti mendahului peruntukan dana dan bukan tentang berapa banyak wang diminta tetapi mengenai berapa banyak yang dianggap sebagai berkesan.
“Saya terbuka untuk membincangkan hal pembiayaan jika ia benar-benar membantu menarik lebih ramai pelancong asing ke Malaysia. Dalam hal ini, kedua-dua negeri Melaka dan Perak, yang menganjurkan Tahun Pelancongan, telah terlibat secara aktif dengan MOTAC.
“Wakil kerajaan negeri telah mengatur banyak mesyuarat, menjemput saya ke pelbagai acara negeri, dan memberikan pandangan tentang keperluan mereka, mempamerkan usaha ikhlas dalam mempromosikan pelancongan, seni dan budaya
“Walaupun kedengaran kasar, adalah ditegaskan bahawa dengan hanya menulis surat tidak bermakna kementerian berhutang apa-apa kepada anda. Sebagai contoh, saya juga berkunjung ke negeri-negeri seperti Pulau Pinang dan Johor yang tidak menganjurkan tahun melawat beberapa kali untuk membincang kerjasama yang boleh diadakan
“Oleh itu, Menteri Besar Perlis harus memahami bahawa sebagai pemimpin, penyelarasan dan komunikasi dengan agensi lain adalah penting. Selaku Menteri Besar, beliau sepatutnya berkeupayaan untuk mencari jalan penyelesaian, bukan hanya sekadar menunggu jawapan balas menerusi kiriman surat semata-mata. Jika begitulah caranya, maka keupayaan beliau untuk mentadbir negeri selaku Menteri Besar,” jelasnya.
Katanya, Mohd Shukri yang dilihat ingin mengadakan Tahun Melawat Perlis dengan ‘bermain api’ dan sensasi berniat hanya akan merosakkan MOTAC dan Perlis.
“Berterusan menangani perkara ini secara tidak rasional akan menghalang penyelesaian, mewujudkan salah faham dan tidak menguntungkan kedua-dua pihak,” katanya.- UTUSAN