Enam anggota Geng Sathiya diberkas, curi kabel KTMB RM80,000 - Utusan Malaysia

Enam anggota Geng Sathiya diberkas, curi kabel KTMB RM80,000

AHMAD ZAMRY Marinsah (dua dari kanan) menunjukkan kabel yang dicuri oleh anggota Geng Sathiya yang berjaya ditahan di sekitar Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Pihak polis berjaya menumpaskan  Geng Sathiya apabila berjaya menahan enam anggotanya yang aktif melakukan jenayah mencuri kabel di sekitar daerah ini awal pagi semalam.

Ketua Polis Segamat Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, kumpulan penjenayah itu menggunakan taktik memotong kabel pada awal pagi untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Kesemua suspek ditahan berusia antara 24 hingga 44 tahun. Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat menahan Geng Sathiya berikutan laporan kecurian kabel tembaga yang dianggarkan bernilai RM80,000 milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tenang.

“Hasil siasatan, pihak polis berjaya menahan enam suspek di sekitar tepi jalan Felda Kemelah dan Jalan Muar-Segamat enam jam selepas laporan polis diterima kira-kira pukul 5.30 pagi semalam,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Deputi Superintenden Ng Swie Chait dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) Asisten Superintenden Mohd. Nazri Mohd. Rahim.

Ahmad Zamry berkata, pihak polis turut merampas gergaji besi, alat pemotong dan kabel tembaga KTMB di dalam lori kecil.

Pihaknya turut merampas sebuah kereta Proton Wira berwarna merah yang digunakan oleh kumpulan tersebut.

“Berdasarkan siasatan, kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan. Dengan tertangkapnya enam ‘jahanam’ Geng Sathiya ini, pihak polis berjaya menyelesaikan beberapa kes kecurian kabel di sekitar Segamat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya