MARAN: Empat maut manakala seorang parah dalam empat kejadian kemalangan berasingan di daerah ini pada Jumaat dan Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Norzamri Abd. Rahman berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) menerima laporan kemalangan maut antara pukul 10 malam hingga 8 pagi.
Menurutnya, kemalangan maut pertama pada 19 Januari lalu kira-kira pukul 9.50 malam melibatkan sebuah motosikal dengan kereta di kilometer 83.5 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur.
“Hasil siasatan mendapati, mangsa penunggang motosikal, Muhammad Amirrullah Abdul Raafi,19, dari arah Temerloh menghala ke rumahnya di Kampung Baru Bukit Kuin bertembung dengan sebuah kereta dipandu Chew Koo Ing, 61, di simpang masuk Felda Bukit Tajau, Maran,” katanya ketika dihubungi di sini.
Norzamri berkata, kemalangan maut kedua pada 20 Januari lalu kira-kira pukul 10 pagi melibatkan sebuah motosikal dengan treler di kilometer 45, Jalan Maran-Bandar Tun Abdul Razak Jengka di sini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, penunggang motosikal bersama pemboncengnya dari pasar borong Jengka menghala ke Maran.
“Secara tiba-tiba, motosikal terbabit keluar simpang dan hilang kawalan melanggar bahagian hadapan sebelah kanan treler dari arah Maran.
“Penunggang motosikal, Muhammad Zariff Fathi Mohammad Nur, 18, dari Felda Sungai Tekam Utara meninggal di tempat kejadian manakala pembonceng berusia 16 tahun patah kaki kanan dan dibawa ke Hospital Jengka untuk rawatan,” katanya.
Beliau berkata, kemalangan maut ketiga pada 20 Januari lalu kira-kira pukul 9.30 pagi melibatkan motorsikal ditunggang Yeop Abd. Hamid Sallih, 70, yang terbabas masuk longkang di perkampungan Felda Jengka 18.
Menurutnya, mangsa keempat, pemandu pacuan empat roda, Lai Jia Fatt, 23, dari Taman Bukit Angin, Temerloh yang dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan Hospital Temerloh.
Jelasnya, semua kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987. – UTUSAN