Empat lelaki ditahan curi dua ekor lembu di Ladang Krau Empat, Raub - Utusan Malaysia

Empat lelaki ditahan curi dua ekor lembu di Ladang Krau Empat, Raub

DUA ekor lembu ditemukan dalam sebuah kereta Proton Wira Aeroback dipercayai dicuri empat suspek lelaki di Ladang Sawit Krau Empat di Raub, Pahang. - FOTO/IHSAN IPD RAUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Polis daerah ini menahan empat lelaki berusia antara 23 hingga 31 tahun kerana dipercayai mencuri dua ekor lembu di Ladang Sawit Krau Empat di sini.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Shahril Abdul Rahman berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis dibuat oleh seorang lelaki pada 6 Januari lalu pada pukul 7.48 pagi berhubung kejadian tersebut.

“Dalam laporan berkenaan, pengadu menerima panggilan daripada rakannya meminta dia segera pergi ke Jalan Utama Mempaga, iaitu di tapak Pasar Malam Mempaga.

“Dia (pengadu) bergegas ke sana dan mendapati sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback terbabas dan berada di tepi jalan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Menurut Mohd. Shahril, setelah melakukan pemeriksaan, pengadu mendapati dua ekor lembu itu miliknya yang dicuri di Ladang Sawit Krau Empat berasaskan kepada tanda di telinga haiwan tersebut.

Beliau berkata, hasil siasatan polis mendapati, beberapa orang penternak di situ sudah membuat rondaan pada 6 Januari, pukul 3 pagi dan nampak sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback berada di tepi jalan dalam kawasan ladang tersebut.

“Penternak berkenaan menghampiri kereta tersebut daripada arah belakang, tiba-tiba pemandunya terus memecut laju menghala ke Jalan Utama Mempaga-Lebu. Mereka terus mengejar kereta tersebut dan kemudiannya terbabas di tapak Pasar Malam Mempaga,” katanya.

Mohd. Shahril berkata, ekoran kejadian itu, polis dengan kerjasama kumpulan penternak lembu terbabit menahan empat suspek lelaki dan tiga daripadanya dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut, manakala seorang suspek dihantar ke Hospital Temerloh untuk rawatan.

“Hasil ujian air kencing mendapati dua daripada suspek lelaki berkenaan positif dadah Methamphetamine dan seorang lagi positif dadah Ampetamin,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Akta Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan mencuri.

“Tiga suspek dibawa ke IPD Raub untuk ditahan selama empat hari bermula 6 Januari hingga 9 Januari ini untuk membantu siasatan polis berhubung kes itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya