MELAKA: Dakwaan mengatakan Harimau Bengal Putih di Zoo Melaka di sini terlalu kurus akibat kelaparan menerusi satu klip video berdurasi 22 saat yang tular dalam platform media sosial sejak Sabtu lalu merupakan tuduhan tidak berasas, kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron.
Sapiah menjelaskan, harimau yang diberi nama Elsa itu kurus kerana menghadapi beberapa masalah kesihatan sejak berada di Zoo Melaka pada 2019.
Beliau berkata, hasil pemantauan pasukan veterinar mendapati, Elsa berhadapan masalah tulang (bone deformities), skor badan rendah (low body score) dan tingkah laku.
“Tuduhan dan kenyataan yang menyatakan Elsa kelaparan adalah tuduhan tidak berasas dan mengecewakan kerana pemberian makanan kepada 300 spesies haiwan di sini direkodkan setiap hari.
“Elsa pula terpaksa melalui diet apabila hanya lima kilogram (kg) ayam diberikan setiap hari. Kalau berat badannya berlebihan ia tidak boleh berjalan. Jika terlalu berat ia boleh menjejaskan tulang belakang dan punggung. Kalau kita lihat ia berjalan tidak sempurna.
“Selain itu Elsa menghadapi masalah rahang yang menyukarkannya untuk makan,” katanya dalam sidang akhbar di Zoo Melaka semalam.
Klip video dikongsikan di platform TikTok oleh pengguna dengan nama Nurul Z turut meminta haiwan itu dikembalikan ke habitat asal.
Tambah Sapiah, Elsa dilahirkan di Zoo Sunway Lagoon, Selangor sebelum berpindah ke Zoo Melaka dan telah menghadapi masalah kesihatan sejak dilahirkan.
Ujarnya, hanya Elsa menghadapi masalah kesihatan manakala beberapa ekor harimau lain seperti Sofia, Damak dan Tommy dikategorikan obesiti oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Katanya, sejak berada di Zoo Melaka, Elsa dipantau rapi setiap hari oleh penjaganya dan unit veterinar.
“Rutin harian terhadap Elsa menjalani pemeriksaan fizikal jika terdapat luka, keadaan kuku, bulu, bendalir asing, pemakanan dan pembersihan kandang. Selain pemeriksaan fizikal, pengambilan sampel-sampel dihantar ke makmal untuk disaring dan diuji untuk mengetahui penyakit yang mungkin dihidapi Elsa,” ujarnya.