BATU PAHAT: Elaun petugas masjid sudah dilakukan kajian dan dijangka akan dapat ditambah baik pada tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pada masa ini jumlah elaun yang diberikan kepada imam adalah RM850, Bilal RM100 manakala Noja RM80.
Katanya, di negeri Johor, terdapat 1,463 orang imam yang dibayar elaunnya oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) manakala 3,113 diuruskan pembayaran elaun diuruskan oleh kerajaan negeri.
“Bagi menghargai semua petugas masjid berkenaan, kerajaan negeri juga telah memberikan bantuan sekali bayar (One Off) bernilai RM500 seorang pada tahun 2023 dan 2024.
“Pada masa ini, kerajaan negeri masih belum dapat menetapkan kedar baharu pembayaran elaun khususnya kepada Bilal dan Noja yang masih dalam kajian,” katanya ketika ditemui media hari ini.
Mohd Fared berkata demikian ketika hadir dalam program Semarak Subuh Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah di Masjid Jamek Datuk Bentara Luar di Batu Pahat.
Ujarnya, semua petugas masjid dalam Negeri Johor juga dicarum dalam insuran Pertubuhan Kebajikan Sosial (PERKESO) bermula tahun 2023.
“Dalam pada itu, pihak kerajaan negeri juga membenarkan Jawatankuasa masjid memberikan elaun tambahan kepada petugas masjid mengikut kemampuan tabung semasa setiap masjid.
“Sama-sama kita berdoa agar hasrat kerajaan untuk menambah baik elaun petugas masjid ini dapat direalisasikan pada tahun hadapan,” katanya.
Sementara itu, kira-kira 700 orang jemaah lelaki dan wanita telah hadir dalam mengimarahkan program Semarak Subuh bagi DUN Semerah hari ini.