Elak dicekup pegawai imigresen, warga asing nekad terjun dari tingkat dua - Utusan Malaysia

Elak dicekup pegawai imigresen, warga asing nekad terjun dari tingkat dua

SEBAHAGIAN warga asing yang diperiksa pegawai Jabatan Imigresen Malaysia yang mengadakan serbuan Operasi Bersepadu Siri 1/2024 di Seremban 2, Seremban, semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sanggup melompat keluar dari tingkat dua sebuah bangunan antara tindakan nekad seorang wanita warga asing yang cuba melarikan diri daripada ditangkap anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang mengadakan serbuan dalam operasi di sebuah kawasan rumah kedai di Seremban 2 di sini malam semalam.

Akibatnya wanita warganegara Myanmar berusia 35 tahun itu mengalami kecederaan di kepala dan lutut dan terpaksa dirawat oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang turut serta dalam operasi terbabit.

Selain itu, ada juga dalam kalangan warga asing ini yang menyorok di dalam siling malah membahayakan diri dengan memanjat bumbung bangunan tiga tingkat itu dalam usaha mereka melepaskan diri daripada ditangkap.

Pengarah JIM Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, operasi yang diadakan pihaknya itu adalah hasil risikan dan juga aduan orang awam berkaitan kawasan terbabit dihuni majoritinya warga asing dari pelbagai negara.

“Kami telah menerima maklumat awam dan aduan berkenaan keberadaan warga asing di kawasan ini, 99 peratus mereka yang tinggal di sini merupakan warga asing. Semasa serbuan kami dapati tingkat atas bangunan rumah kedai telah dijadikan tempat penginapan dan asrama pekerja asing.

“Warga asing ini dipercayai bekerja di sekitar kawasan penginapan kerana terdapat beberapa premis seperti pusat beli belah dan deretan kedai selain ada yang bekerja di kilang-kilang dan di sektor pembinaan,” katanya kepada pemberita selepas pelaksanaan Operasi Bersepadu Siri 1/2024 di Seremban 2 di sini.

SEORANG wanita warga asing dari Myanmar mengalami kecederaan selepas terjun dari tingkat dua sebuah bangunan rumah kedai bagi mengelak diri daripada dicekup pegawai Jabatan Imigresen Malaysia yang mengadakan serbuan operasi di Seremban 2, Seremban, malam semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Beliau dalam pada itu berkata, seramai 628 orang warga asing termasuk lima kanak-kanak perempuan diperiksa dalam operasi tersebut dan daripada jumlah itu, seramai 110 orang telah diambil tindakan yang terdiri daripada 91 lelaki dan 18 orang perempuan.

Katanya, kesemua warga asing yang ditahan dan diperiksa berasal dari negara Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Nepal, India, Pakistan dan Sri Lanka.

“Antara kesalahan didapati daripada pemeriksaan warga asing ini adalah tiada dokumen pengenalan diri serta tinggal lebih masa. 

“Lain-lain kesalahan yang dilakukan juga adalah di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen iaitu membenarkan imigran haram untuk masuk dan tinggal di premis dan Seksyen 56 (1)(d) iaitu kesalahan melidungi imigran haram.

“Kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) ini akan dibawa ke Depoh Imigresen Lenggeng untuk saringan dan siasatan lanjut,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya