Eksploitasi warga asing untuk keuntungan, lapan lelaki ditangkap - Utusan Malaysia

Eksploitasi warga asing untuk keuntungan, lapan lelaki ditangkap

SEBAHAGIAN lelaki yang ditahan dalam serbuan operasi pembanterasan jenayah TIP di tiga buah daerah di Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Lapan lelaki disyaki terbabit melakukan eksploitasi ke atas warga asing berjaya ditangkap dalam operasi pembanterasan jenayah trafficking in person (TIP) di tiga buah daerah di negeri ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, enam serbuan berasingan telah dijalankan di daerah Seremban, Kuala Pilah, dan Rembau selama dua hari bermula kelmarin. 

Menurutnya, dalam serbuan tersebut, lapan suspek berusia antara 20 hingga 54 tahun telah ditahan atas kesalahan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom).

“Mereka disyaki melakukan eksploitasi ke atas 12 mangsa yang terdiri daripada seorang lelaki dan 10 wanita warganegara Thailand serta seorang wanita warganegara Kemboja yang berusia antara 17 hingga 73 tahun.

“Kesemuanya mangsa ini telah berjaya diselamatkan dan polis turut merampas dua buah kenderaan, sebuah motosikal, lima telefon bimbit, 49 jenis barangan lelaki, 351 jenis makanan dan wang tunai RM116,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ujar Ahmad Dzaffir lagi, dalam serbuan yang sama, polis turut menahan 15  warganegara asing berusia antara 28 hingga 49 tahun kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen. 

Menurutnya, pihaknya memandang serius terhadap aktiviti eksploitasi dan penyeludupan orang dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan awam.

“Fokus utama operasi ialah untuk membanteras eksploitasi ke atas mangsa sama ada kanak-kanak, wanita, warga emas dan orang kurang upaya yang digunakan untuk mengaut keuntungan.

Menurutnya, kesemua lapan lelaki tersebut disiasat di bawah Seksyen 12 Atipsom 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan denda.

Sehubungan itu, orang ramai boleh menyalurkan maklumat berhubung jenayah TIP kepada balai polis berhampiran atau bilik gerakan polis negeri sembilan di talian 06-7682222.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya