Duit pencen pesara guru lesap RM319,899 akibat skim pelaburan tidak wujud - Utusan Malaysia

Duit pencen pesara guru lesap RM319,899 akibat skim pelaburan tidak wujud

YAHAYA OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang pesara guru terpaksa berputih mata apabila duit pencen miliknya berjumlah RM319,899 lesap akibat terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa, 78, melihat iklan pelaburan dikenali OSK Trading Securities yang menjalankan perniagaan melalui laman sosial Facebook, Oktober tahun lalu.

“Mangsa berurusan dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp bagi mendapatkan penjelasan dan diberitahu bakal memperoleh keuntungan antara 10 hingga 20 peratus dengan membuat trading dalam platform disediakan.

“Kemudiannya, setelah memahami kaedah pelaburan tersebut, mangsa telah berminat untuk menyertai pelaburan yang ditawarkan.

“Dengan menggunakan wang pencen miliknya, mangsa membuat pembayaran secara berperingkat ke empat akaun bank berbeza dengan jumlah RM319,899,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Yahaya berkata, mangsa menyedari ditipu apabila hasil penelitiannya mendapati laman sesawang itu sudah tidak berfungsi.

Jelasnya, mangsa juga dilaporkan tidak memperolehi sebarang keuntungan dan modal hasil pelaburan di platform berkenaan.

“Mangsa membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Kuantan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan Sindiket Pelaburan Tidak Wujud. Jangan mudah terpengaruh dengan Skim Pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya