KOTA TINGGI: Kegembiraan lima remaja mandi di sebuah parit di Kampung Perpat, Tanjung Sedili di sini bertukar tragedi apabila dua daripada mereka lemas petang tadi.
Mayat Muhammad Airell Iskandar, 14, ditemukan pukul 1.35 tengah hari, disusuli rakannya, Mohamad Azihan Baharum, 18, 10 minit kemudian.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya, kedua-dua mangsa dilaporkan datang ke parit itu untuk mandi bersama-sama beberapa rakan yang lain.
Walau bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan sama ada dua remaja itu adalah korban banjir.
“Belum pasti mereka adalah mangsa banjir atau tidak berikutan siasatan masih dijalankan. Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk bedah siasat.
“Saya ingin mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan ibu bapa juga dinasihatkan agar memantau pergerakan anak-anak mereka,” katanya.
Utusan Malaysia difahamkan kedua-dua mangsa pada mulanya cuba diselamatkan rakan yang lain dengan bantuan penduduk kampung, namun gagal.
Kota Tinggi merupakan daerah paling terjejas akibat banjir dan setakat petang ini seramai 4,479 mangsa ditempatkan di 24 PPS. – UTUSAN