KUALA LUMPUR: Dua lelaki yang aktif mencuri motosikal di ibu negara diberkas secara dalam serbuan berasingan pada 17 Januari lalu.
Salah seorang daripada suspek yang ditahan bekerja sebagai penarik kenderaan dan menjadi dalang kumpulan curi motosikal Geng Alim.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, modus operandi kumpulan itu menyasarkan motosikal yang mempunyai tunggakan bayaran dengan bank.
“Suspek yang bekerja sebagai penarik kenderaan mengambil kesempatan mencuri motosikal dengan cara menahan dan merampas motosikal mangsa atas alasan mempunyai tunggakan.
“Suspek ini memang bekerja dengan bank, dia ada surat bank tetapi selepas ditarik suspek tidak serahkan motosikal kepada pihak bank,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, sebanyak dua buah motosikal jenis Yamaha dirampas.
Turut dirampas sembilan rangka motosikal dan enam komponen motosikal pelbagai jenis yang dilaporkan hilang di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dengan anggaran rampasan semuanya bernilai RM60,000.
“Kesemua motosikal dileraikan dan komponen akan dijual kemudian rangka motosikal akan dibuang ke dalam semak atau di kawasan yang jarang digunakan orang ramai,” jelasnya.
Ahmad Sukarno berkata, sekurang-kurangnya 14 kes curi motosikal di ibu negara dan satu kes di Selangor berjaya diselesaikan dengan tertangkapnya dua suspek terbabit.
Katanya, polis masih memburu dua lagi suspek yang disyaki membeli dan menjual semula alat ganti curi berkenaan daripada sindiket terbabit.
“Kedua-dua suspek yang ditahan berusia 24 dan 30 tahun tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan sedang direman di IPD Sentul,” kata beliau.
Menurut beliau, salah seorang suspek yang dikesan ialah Muhammad Syawal Muszrad Hassan, 29, disyaki terbabit dengan sindiket itu manakala butiran lanjut seorang lagi suspek masih dalam siasatan.
Beliau berkata, sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Zulhelmi Shuib di talian 0126401989.- UTUSAN