Dua beranak serta akauntan didenda RM2,000 gagal kemuka penyata SST - Utusan Malaysia

Dua beranak serta akauntan didenda RM2,000 gagal kemuka penyata SST

TIGA individu didenda sebanyak RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan gagal mengemukakan penyata SST-02 pada Januari hingga Julai tahun lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua beranak bersama seorang akauntan didenda sebanyak RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan gagal mengemukakan penyata Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST-02) pada bulan Januari hingga Julai tahun lalu.

Hakim, Mazni Nawi menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Hanis Syamimi Haruddin, 33; Hidayati Ab Majid, 57, dan Massdzita Salleh, 33, selepas ketiga-tiga Orang Kena Saman (OKS) itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang didakwa ke atas mereka.

Mazni menetapkan sebanyak RM500 denda bagi setiap daripada empat pertuduhan masing-masing yang dikenakan terhadap semua OKS dan 10 hari penjara sekiranya gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan.

Selain tiga individu berkenaan, syarikat Mega Imperium Sdn. Bhd yang menjalankan perniagaan makanan dan minuman dimiliki bersama dua beranak berkenaan iaitu Hanis Syamimi dan Hidayati turut didenda sebanyak RM500 bagi setiap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, kesemua OKS didapati gagal mengemukakan penyata SST-02 dalam masa yang ditetapkan bagi tempoh bercukai antara 1 Januari 2023 hingga 31 Ogos 2023.

Perbuatan itu dilakukan oleh mereka di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jalan Paroi-Senawang, di sini antara 3 April 2023 hingga 2 Oktober 2023.

Kesemuanya didakwa mengikut Seksyen 26 (1) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, Muhammad Aidil Azeman manakala kesemua OKS diwakili Peguam, Datuk Eddin Syazlee Shith.

Terdahulu, Eddin Syazlee mengemukakan rayuan memohon kepada mahkamah supaya hukuman denda minimum ke atas OKS kerana OKS telah menanggung kerugian besar ditipu oleh sub kontraktor.

Menurut beliau, pengakuan bersalah daripada OKS menunjukkan OKS insaf atas kekhilafan yang dilakukan dan perlu diberi peluang dari untuk menunaikan tanggungjawab (mengemukakan SST-02) pada masa akan datang. 

Bagaimanapun, Muhammad Aidil dalam hujahannya menegaskan OKS mengenakan cukai kepada pelanggan namun tidak mengemukakan penyata tersebut kepada pihak Kastam.

Menurut beliau, jika nilai ambang yang dikenakan mencecah RM500,000, jumlah cukai adalah sebanyak RM30,000.

“Mohon agar satu hukuman yang berat dikenakan memandangkan ketirisan yang berlaku akibat kelewatan menghantar penyata kepada pihak Kastam,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN