KANGAR: Kerajaan negeri akan memberi tumpuan meneroka sektor perlombongan dan pengkuarian dolomite yang disifatkan mempunyai potensi besar dalam membawa pulangan hasil kepada negeri ini.
Dolomite boleh diibarat seperti emas putih Perlis yang sangat berharga memandangkan batu sedimen tersebut hanya terdapat di negeri ini.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, hasil maklumat Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) sebelum ini menyatakan bahawa sektor tersebut dianggarkan mampu menjana pulangan bernilai lebih RM19.2 bilion buat negeri ini sekiranya diteroka secara serius.
Katanya, lokasi yang berpotensi untuk penerokaan berkenaan di negeri ini adalah seperti di sekitar kawasan utara iaitu di Padang Besar.
“Kita akan memberi tumpuan secara lebih serius pada tahun ini dalam sektor perlombongan dan pengkuarian dolomite itu susulan potensi besar dan mampu memberi pulangan buat negeri.
“Ini juga selaras dengan hasrat kerajaan Persekutuan supaya kita dapat keluarkan hasil dari sektor ini dengan serius bagi menjana pendapatan buat negeri,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 Menteri Besar Perlis di Dewan 2020, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Mohd Shukri turut berkesempatan melancarkan Buku Pencapaian Satu Tahun Kerajaan Negeri Perlis yang melaporkan kejayaan dicapai setelah setahun pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Selain itu, Mohd Shukri berkata, kerajaan negeri juga akan memberi penumpuan serius bagi sektor pelaburan di Perlis khususnya melibatkan pembangunan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA).
“Bagi pelaburan di CVIA, kita sudah ada kemasukan dan menerima beberapa kertas kerja yang dihantar oleh pelabur berminat untuk beroperasi di sana,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, bidang perkhidmatan juga kekal sebagai sektor utama di negeri ini dengan sumbangan sebanyak 70.2 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Perlis.
Katanya, walaupun berdepan kelembapan ekonomi pada masa kini, kerajaan negeri mampu melakukan beberapa penambahbaikan disamping meningkatkan sedikit kadar KDNK.
“Saya juga berharap agar penjawat awam di negeri ini dapat bersama-sama bekerja dengan mencipta sesuatu yang baharu demi kesejahteraan rakyat Perlis,” katanya.-UTUSAN